Eric Paulsen digugurkan dari MPKM
PEGUAM Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli Majlis Perundangan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan Malaysiakini.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia ingin memaklumkan bahawa peguam Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli MPKM.
“Bagaimanapun keputusan ini tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang telah ditubuhkan pada 9 Jun 2020 yang lalu,” kata kenyataan itu.
Dua hari lalu, Suara Merdeka melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan motif dan tujuan yang ingin dicapai dengan pelantikan Eric yang sama sekali tidak dapat diterima.
“Walau apa pun tujuan dan motif yang ingin dicapai, pelantikan individu yang terkenal dengan promosi dan sokongan kuat terhadap pelbagai aliran sesat serta fahaman yang merosakkan struktur sosial seperti liberalisme, humanisme, hedonisme, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks songsang ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi pula mempersoalkan, apakah asas dan rasional pelantikan peguam yang terkenal dengan pelbagai kenyataan ekstrim dan berbaur penghinaan terhadap Islam dan umat Islam melalui saluran media sosialnya.
“Eric telah berkali-kali mengguris hati umat Islam dengan tulisan beliau seperti menuduh JAKIM mempromosi ekstrimisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh Hukum Syariah dan menyalahkan madrasah menuntut ilmu agama sebagai lokasi pembiakan ekstrimis agama,” jelasnya.
Pada Mac 2015 Eric telah ditahan berhubung dua kenyataannya mengenai undang-undang hudud di Twitter dan disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Eric juga pernah didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme. – SM