Empat sahabat manfaat bakat ubah vandalisme kepada seni jalanan bermesej
BAKAT empat anak jati Pahang dimanfaatkan sebaiknya bagi mengubah ‘lukisan’ tidak senonoh di bawah jambatan Tanjung Lumpur kepada seni jalanan bertemakan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia tahun ini.
Ahmad Fadzril Abdul Ruzsnan, 26, berkata, idea untuk menindan ‘lukisan’ asal itu timbul selepas beliau tidak sedap hati setiap kali melalui jalan raya di bawah jambatan itu kerana bimbang ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap bidang seni.
Tidak mahu menjadi seperti pepatah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, Ahmad Fadzril mengajak tiga rakannya yang juga terlibat dalam aktiviti seni jalanan untuk sama-sama menyertai ‘projek’ itu, yang kesemuanya, tanpa ragu-ragu, bersetuju mengeluarkan belanja sendiri.
“Rancangan untuk melukis di dinding bawah jambatan itu dibuat sejak pertengahan Mac lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum kami dapat berkumpul pada 13 Jun lalu.
“Kami memilih wabak Covid-19 sebagai tema dengan mengambil kira ia adalah isu semasa, selain sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan semua masyarakat memainkan peranan membendung penularan wabak tersebut,” katanya kepada BERNAMA.
Anak jati Kampung Kempadang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menambah, mereka terlebih dahulu menyapu cat hitam untuk memadam ‘lukisan asal’ selain sebagai latar belakang lukisan baharu yang menggunakan pelbagai warna terang.
Beliau menambah, mengabadikan gambar petugas kesihatan menggunakan alat pengimbas suhu bersama tulisan stay safe (kekal selamat) yang dihasilkan daripada cat kerana selesa dengan medium tersebut berbanding rakan lain yang memilih cat sembur.
Kerjasama mereka membuahkan hasil apabila hanya mengambil masa kira-kira lima jam untuk menyiapkan lukisan tersebut yang kini ‘merentangi’ hampir keseluruhan dinding konkrit jambatan itu, yang disifatkan sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Secara keseluruhan, mereka menggunakan lebih 50 tin cat sembur dalam penghasilan seni jalanan tersebut.
Sementara itu, rakannya Muhammad Ikmal Abdul Manan, 25, dari Ketapang Tengah, Pekan dekat sini mengakui berasa bangga apabila kenderaan yang melalui jalan itu membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada mereka apabila melihat mesej yang hendak disampaikan.
“Ada yang turut membelikan air dan makanan kepada kami. Sejujurnya saya tidak pernah menjangka akan mendapat sokongan seperti itu. Pada awalnya saya bimbang juga jika ditahan pihak berkuasa kerana dianggap merosakkan harta awam.
“Namun, yang sebaliknya pula berlaku kerana kami kini diminta untuk menghasilkan lebih banyak seni jalanan di sekitar daerah ini sebagai persediaan ke arah Kuantan dinaik taraf menjadi bandar raya,” katanya.
Sebagai orang seni, Muhammad Ikmal yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina berkata, orang ramai boleh melihat perbezaan karakter dalam seni itu, sekali gus mengetahui ia dilakarkan oleh individu berbeza.
Beliau yang sinonim dengan penghasilan grafiti berbentuk tulisan mempamerkan mesej together we fight (bersama kita menentang) sebagai peringatan kepada orang awam untuk sama-sama memainkan peranan membantu petugas barisan hadapan.
“Saya harap orang ramai tidak lagi melihat seni jalanan sebagai perbuatan vandalisme kerana ia adalah perkara yang amat berbeza. Seni jalanan juga sebahagian daripada karya seni yang mempunyai nilai dan mesej tersendiri selain dekat dengan golongan muda,” katanya. – SM