Elly Mazlein beri promosi percuma kepada peniaga, Umie Aida bantu pemandu teksi
SEJAK tahun lalu, memang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terutamanya melibatkan ekonomi.
Terkesan dengan apa yang dialami sebahagian rakyat, selebriti seperti Elly Mazlein dan Umie Aida nampaknya terus menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein sebelum ini telah memberitahu menerusi akaun Instagram miliknya bahwa sesiapa yang memerlukan boleh berhubung dengan menerusi media sosial.
Terbaharu, Elly memberitahu yang dia mendapat banyak mesej yang memohon bantuan dan cuba sedaya upaya untuk membantu.
“InsyaAllah ada rezeki tak ke mana. Cuma saya harap semua faham ya bila mesej terlalu banyak, ada yang saya tak sempat baca.
“Apa-apa pun saya akan berusaha untuk bantu dan kalau bukan daripada saya, InsyaAllah ada daripada insan lain,” katanya.
Malah, Elly juga sudah beberapa kali membuka ruangan komen di Instagram miliknya dan meminta sesiapa sahaja untuk mempromosikan perniagaan mereka secara percuma.
Sementara itu, pelakon, Umie Aida juga mengambil kesempatan untuk menghulurkan bantuan kepada pemandu teksi.
Menurut Umie, ada pemandu teksi yang memperoleh pendapatan sebanyak RM20 sahaja untuk sehari.
“Alhamdulillah, 300 pemandu teksi telah menerima sedikit bantuan beras, tepung, minyak masak dan roti,” katanya.
Tambah Umie lagi, dia turut berharap sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menderma kepada akaun Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia (21233000012249 – RHB Bank). -SM