Elisya Sandha selamat bergelar menantu kepada Sheila Rusly
PELAKON, Elisya Sandha, 21, selamat bergelar isteri kepada Uzair Haqimy, 25, dalam majlis pernikahan yang diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, petang tadi.
Pernikahan tersebut berlangsung pada pukul 3.11 petang dalam majlis yang ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Elisya yang juga adik kepada pelakon, Fasha Sandha berkata, majlis pernikahan itu sepatutnya berlangsung pada tahun hadapan.
“Tarikh sebenar yang kita rancang sebenarnya adalah pada 22 Februari tahun hadapan tetapi kita awalkan. Malah, tarikh nikah hari ini juga baru sahaja diterima pada dua minggu lalu.
“Lagipun dalam situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu sekarang, kami rasa lebih baik pernikahan ini dipercepatkan,” katanya.
Pada majlis pernikahan tersebut, Elisha menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.
Dalam pada itu, Elisya juga memberitahu yang dia ada merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan di kampung halamannya di Perlis.
“Memang kita ada rancang untuk mengadakan majlis persandingan di kampung cuma tarikh itu belum ditetapkan lagi,” katanya.
Terdahulu, pasangan ini melangsungkan pertunangan pada 31 Januari lalu. -SM