Elaun pembantu tabika Kemas dipertimbang untuk dinaikkan
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mempertimbangkan untuk menaikkan bayaran elaun 10,000 Pembantu Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke paras gaji minimum.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kertas berkaitan isu Pembantu Tabika KEMAS berkenaan telah sampai dari Ibu Pejabat KEMAS kepada kementerian.
“Dahulu, mereka ini merupakan golongan sukarelawan yang masak di tabika pada waktu tengahari, bagaimanapun sekarang ini pembantu Kemas datang dari pagi hingga petang juga.
“Jadi, mereka diberi sedikit elaun namun ketika ini jumlah itu tidak sesuai, maka kita akan buat mengikut proses perkhidmatan kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu pendapatan pembantu Kemas di bawah gaji minimum.
Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 Kali Ke-16 di Hotel Raia di sini pada Sabtu.
Menurut Mahdzir, pihaknya sedang berusaha untuk mengangkat isu ini, yang mana terdapat lebih kurang 10,000 pembantu KEMAS di seluruh negara yang menerima elaun RM500 sebulan.
KPLB dan KEMAS jelas beliau sememangnya berusaha memperjuangkan nasib Pembantu Tabika KEMAS yang masih memiliki pendapatan di bawah gaji minimum.