Ekspo Tato terbit rasa kurang senang?
KUALA LUMPUR- Kecoh di laman media sosial semalam apabila dilaporkan berlangsung program kontroversi iaitu Malaysia Tatoo Expo 2019, yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 29 November hingga 1 Disember lepas.
Malah agak mengejutkan acara itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Dilaporkan sebelum ini telah berlangsung tiga kali ekspo tato tetapi acara kali ini dirancang menjadi yang terbesar dengan penyertaan 120 pelukis tato dari Asean dan lebih 40 lagi dari seluruh dunia.
Menurut penganjur ekspo tersebut, Carlos Benny Majakil yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pelukis tato, seni tato lebih daripada sekadar meletakkan lukisan dakwat di badan.
“Ia antara sebahagian sesi terapi bagi mereka yang memiliki tato di badan mereka.
“Ada antara mereka yang agak emosi dengan tato di badan mereka kerana ada kisah sama ada sedih atau gembira disebalik tato yang terlakar di badan mereka,” kata Carlos Benny.
Antara pelukis tato yang menyertai ekspo itu adalah Thailand, Mexico, Switzerland, Jepun, New Zealand dan Filipina dengan pelbagai peralatan baik yang moden mahupun tradisional.
Mungkin tidak ada masalah bagi sebahagian rakyat Malaysia untuk datang melihat acara yang unik ini.
Tetapi yang mungkin menjadi permasalahan di sini adalah apabila terdapat wanita bertato penuh di badan yang hanya bergambar separuh bogel demi untuk menunjukkan tato yang terlukis di badannya.
Sekurang-kurangnya perlu dihormati budaya dan penerimaan rakyat tempatan terutama yang beragama Islam yang agak sensitif jika wanita separuh bogel menyerlahkan badannya hanya untuk persembahan seni tato.
Sepatutnya perlu ada garis panduan dari Kementerian yang menjadi penganjur supaya tidak timbul isu di kemudian hari. SM