Nasional

Terima kasih Hyza Ezany, RM10 pemberian terakhir ayah dijumpai – Anne Malar

KUALA LUMPUR – Sekeping wang RM10 pemberian terakhir mendiang ayahnya yang disimpan selama lapan tahun hilang tahun lalu apabila dompetnya dicuri.

Wang tersebut disimpan Anne Malar Yesudass sejak 21 Mei 2010 dan merupakan pemberian terakhir ayahnya sebagai wang saku ke sekolah pada pukul 7.10 pagi ketika dia berusia 17 tahun, sebelum mendiang ayahnya menemui ajal akibat kemalangan pada hari tersebut.

Pada wang tersebut dia menulis ‘The last cash given by dad on 21/5/2010. Friday. 7.10 am. I love you dad’.  Wang yang sangat berharga itu disimpannya baik-baik selama hampir lapan tahun sebelum hilang apabila dompennya dicuri pada 1 September 2018 ketika dia sedang menyertai sebuah kem.

Sejak itu Anne Malar diselubungi kesedihan yang amat sangat kerana wang pemberian terakhir mendiang ayahnya itu hilang buat selama-lamanya.

“Saya tidak sedih dompet saya dicuri. Tetapi saya sangat sedih harta yang paling berharga buat saya yang saya simpan selama ini hilang bersama.

“Selama setahun kehilangannya, saya sentiasa teringat wang terakhir pemberian ayah. Setiap kali memikirkannya, hati saya sangat pedih,” tulis Anne Malar di Facebook beliau.

Bagaimanapun kesedihan Anne Malar akhirnya terubat. Seorang insan bernama Hyza Ezany yang memiliki wang tersebut kemudian berkongsi di Facebook untuk mencari pemilik sebenar wang RM10 bersama-sama nota kenangan bertulisan tangan di atasnya.

‘Mencari pemilik tulisan atas duit ini. Nak bagi free je kepada pemiliknya. Tolong saya share hingga jumpa ya. Terima kasih adik kakak abang yang sudi bantu.

“Sebab bila terbaca ayat ini dan terasa macam pemiliknya sedang tercari-cari. Andai kamu punya, boleh dapatkannya daripada saya. Do PM me,” tulis Hyza Ezany dalam hantaran yang dibuat pada Sabtu lalu.

Sejak itu hantaran Hyza Ezany menjadi tular di media sosial. Ribuan pengguan Facebook berkongsi hantaran tersebut dan semalam mesej tersebut sampai kepada pemilik sebenar wang berkenaan.

“Hari ini kakak saya Whatsapp saya bersama-sama screenshot hantaran FB Hyza Ezany dan dia memberitahu saya tentang perkara ini. Saya sangat gembira. Saya berasa sangat diberkati. Terima kasih sangat-sangat kak Hyza Ezany atas kebaikan yang ditunjukkan. Ucapan terima kasih dari seluruh duniapun tidak mencukupi.

“Tapi inilah sahaja yang saya mampu lakukan, terima kasih banyak-banyak, Terima kasih Tuhan, saya sayang ayah. Saya sangat rindukan ayah….” tulis Anne Malar di Facebooknya.

Hyza Ezany pula membalas di Facebook beliau, ”Alhamdullilah. Dah jumpa tuan. Terima kasih banyak-banyak. Anne Malar Yesudass, semoga ayah anda bersemadi dengan aman.”-SM

 

 

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button