Politik
Ekonomi pulih, rakyat puas hati, pembangkang jangan main retorik
DI SEBALIK segala kecaman dan kritikan pembangkang, kerajaan Madani membuktikan keupayaan mentadbir negara lebih baik dengn ekonomi pulih dan tumbuh lebih lima peratus tahun lalu.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari berkata, momokan bahawa ekonomi tidak berkembang di bawah Kerajaan Madani hanyalah berdasarkan sentimen semata-mata.
Katanya, sekiranya rakyat melihat fakta dan data yang mana ekonomi tumbuh lebih lima peratus setahun sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pemerintahan, dan harga barang keperluan terkawal serta peluang pekerjaan bertambah maka retorik pembangkang tidak perlu dilayan.
“Bila kita (Kerajan Madani) bercakap kita tidak menggunakan sentimen, tidak bercakap auta tetapi kita bercakap asasnya fakta dan data.
“Kos harga barang contohnya, zaman PN di bawah Muhyiddin harga ayam melambung tinggi sekarang harga ayam mula turun di bawah Kerajaan Madani. Rungutan pembangkang ekonomi teruk, adalah tidak tepat.
“Kalau kita tengok setiap kali ada event, food festival rakyat keluar berbelanja dan mereka ada kos untuk berbelanja, pembangkang perlu tengok data,” katanya kepada Suara Keadilan.
Di samping itu, Dr Taufiq juga tidak menolak kemungkinan rakyat akan menikmati lebih banyak manfaat di bawah kerajaan hari ini kerana dalam tempoh dua tahun sahaja ekonomi sudah berada pada landasan yang betul.
“Pada tahun terakhir penggal ini, macam-macam telah dilaksanakan oleh kerajaan dan rakyat akhirnya menikmati manfaat tersebut.
“Kerajaan akan dapat mengekalkan kesinambungan dalam pemerintahan selepas ini, dan mengurangkan beban hutang negara,” katanya.
Pembangkang sentiasa menggambarkan suasana ekonomi muram selama dua tahun. Harga barang digambarkan meningkat, sedangkan kenaikan harga tidak melibatkan barang keperluan dan lebih kepada barangan mewah.
Pengangguran anak muda turut digambarkan tinggi sepanjang 2024, sedangkan faktanya peluang kerja bertambah dan pelbagai insentif kenaikan gaji di sektor awam dan swasta diperkenalkan kerajaan bagi menyeimbangkan pendapatan berbanding kos kehidupan. – SM