Ekonomipilihan

Ekonomi negara catat pertumbuhan 4.2% pada suku pertama

EKONOMI Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun 2024 (S4 2023: 2.9%), didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pertumbuhan eksport yang positif.

Perbelanjaan isi rumah lebih tinggi berikutan pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan.

Bank Negara Malaysia dan kanyataan berkata, aktiviti pelaburan lebih giat disokong oleh perbelanjaan modal  sektor swasta dan sektor awam yang lebih tinggi. Eksport kembali pulih berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

“Dari segi penawaran, kebanyakan sektor mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi. Sektor perkilangan telah meningkat disebabkan oleh pemulihan dalam industri elektrik dan eletronik (electrical and electronics, E&E) serta industri bukan E&E.

“Pertumbuhan yang lebih kukuh bagi sektor perkhidmatan didorong oleh aktiviti perdagangan runcit yang lebih tinggi dan \sokongan yang berterusan daripada subsektor pengangkutan dan penyimpanan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.4% (S4 2023: -1%),” demikian menurut kenyataan itu.

Perkembangan Inflasi

Inflasi keseluruhan kekal sederhana pada 1.7% pada suku pertama tahun 2024 (S4 2023: 1.6%).

Peningkatan sederhana dalam inflasi keseluruhan ini mencerminkan pelarasan dasar tarif air pada bulan Februari dan cukai perkhidmatan bagi penggunaan elektrik yang tinggi pada bulan Mac, masing-masing meningkat sebanyak 20.8% (S4 2023: 2.1%) dan 0.7% (S4 2023: 0%).

Inflasi teras berkurang kepada 1.8% (S4 2023: 2%), sebahagian besarnya didorong oleh inflasi segmen makanan dan minuman yang terus mereda. Rebakan inflasi meningkat sedikit, apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan meningkat kepada 44.2% pada suku tersebut (S4 2023: 36.3%).

Walau bagaimanapun, bahagian ini kekal di bawah purata jangka panjang suku pertama (tempoh suku
pertama tahun 2011-2019) iaitu sebanyak 52.2%.

Perkembangan kadar pertukaran

Pasaran kewangan domestik terus didorong terutamanya oleh peralihan jangkaan pasaran kewangan terhadap hala tuju dasar monetari bank pusat utama.

Khususnya, pasaran kewangan global bertindak balas terhadap jangkaan bahawa Federal Reserve AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah dasar semasanya untuk tempoh yang lebih lama dan mengurangkan kekerapan
penurunan kadar dasar berikutan data ekonomi AS yang terus kukuh.

Tekanan semasa ini mencerminkan dinamik pasaran mata wang yang lebih luas dan bukan khusus kepada Malaysia.

Sejak awal tahun hingga 15 Mei 2024, nilai ringgit menurun sebanyak 2.4% berbanding dolar AS, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lain.

Nilai ringgit turut meningkat pada asas kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) sebanyak 0.5%.

Bank Negara Malaysia (BNM) menggunakan instrumen yang sedia ada untuk memastikan pasaran kewangan domestik kekal teratur dan terus berfungsi dengan cekap.

Di samping itu, inisiatif terselaras oleh Kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) serta libat urus dengan syarikat korporat dan pengeksport terus membuahkan hasil, lalu menyebabkan aliran yang lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pertukaran asing.

Inisiatif ini telah membantu mengurangkan tekanan ke atas ringgit. Purata harian jumlah dagangan pertukaran asing (foreign exchange, FX) juga telah meningkat kepada USD17.6 bilion dalam tempoh 26 Februari hingga 15 Mei 2024 (2 Januari hingga 23 Februari 2024: USD15 bilion) seiring dengan spread bida-tawar yang lebih kecil. Hal ini menunjukkan penambahan mudah tunai dalam pasaran FX domestik.

Keadaan pembiayaan

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 5.2% (S4 2023: 4.8%). Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi untuk pinjaman terkumpul bagi perniagaan (4.9%; S4 2023: 3.7%) dan isi rumah (6.2%; S4 2023: 5.7%) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat pada kadar yang lebih sederhana (3.2%; S4 2023: 4.2%).

Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh peningkatan lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan.

Mengikut sektor, pertumbuhan yang lebih kukuh disokong oleh sektor pembinaan dan perkhidmatan. Pertumbuhan pinjaman terkumpul isi rumah pula lebih tinggi bagi kebanyakan tujuan pinjaman, mencerminkan permintaan terhadap pinjaman yang berterusan terutamanya bagi pembelian rumah dan kereta.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.

Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan tambahan daripada pemulihan permintaan luaran.

Di dalam negeri, pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan akan menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik.

Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan dalam projek infrastruktur berbilang tahun merentas sektor swasta dan sektor awam, di samping pelaksanaan inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan-pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

Prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang kian meruncing dan pengeluaran komoditi dalam negeri yang berkurang dengan lebih banyak.

Meskipun begitu, terdapat risiko pertumbuhan lebih tinggi yang berpunca daripada limpahan peningkatan yang lebih besar kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih memberangsangkan dan pelaksanaan projek
pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih cepat.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana bagi tahun 2024  Pada tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana, masing-masing antara 2% hingga 3.5% dan antara 2% hingga 3%.

Hal ini secara amnya mencerminkan permintaan yang semakin stabil dan tekanan kos yang terkawal, bersama-sama dengan kemungkinan inflasi meningkat yang berpunca daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan
api.

Prospek sepanjang tahun 2024 bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button