Ekonomi Malaysia Berkembang 16.1 Peratus Pada Suku Kedua – BNM
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan tinggi pada suku kedua tahun ini, berkembang 16.1 peratus berbanding penguncupan 17.1 peratus pada suku sama tahun lalu.
Pada suku pertama lalu pula, KDNK negara mencatat penguncupan 0.5 peratus, manakala pertumbuhan ekonomi pada keseluruhan separuh pertumbuhan separuh pertama tahun ini adalah sebanyak 7.1 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata prestasi ekonomi disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.
Katanya, pertumbuhan yang kukuh ini juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.
“Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua namun kemudiannya menurun berikutan pelaksanaan semula langkah membendung yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh Fasa 1.
“Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan. Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2021 semalam.
Mengulas lanjut Nor Shamsiah berkata, meskipun langkah membendung telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah berkenaan.
“Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1 peratus pada suku kedua (S1 2021: 0.5 peratus), disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga bahan api serta luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik bertingkat.
“Inflasi teras terus stabil pada 0.7 peratus pada suku kedua tahun 2021 (S1 2021: 0.7 peratus),” katanya.
Mengulas mengenai prestasi ringgit, Nor Shamsiah berkata nota tempatan itu menambah nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun 2021.
Penambahan nilai itu katanya, sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai dolar AS yang semakin lemah pada awal suku kedua berikutan penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS benar yang menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang memberikan kadar hasil yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, jangkaan terhadap dasar monetari kembali ke paras yang wajar pada kadar yang lebih cepat berikutan mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) pada bulan Jun, telah menyebabkan pelabur mengimbangi semula portfolio mereka kepada aset dalam denominasi dolar AS pada akhir suku kedua.
“Sejak 1 Julai, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.7 peratus berbanding dengan dolar AS (setakat 9 Ogos).
“Penyusutan ini sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh.
“Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh ketidaktentuan yang ketara,” katanya.