Nasional

Edu@Innovate 2023 Berjaya Kumpul Pemain Inovasi

MAJLIS perasmian penutup International Education innovation Expo (Edu@Innovate) 2023 yang berlangsung pada 8 dan 9 November lalu disempurnakan oleh Pengerusi Sains, Alam sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Tuan Teh Kok Lim, .

Dalam ucapan penutup, YB Tuan Teh Kok Lim menyeru agar UPSI berperanan sebagai inkubator yang melahirkan budaya inovasi terutama dalam bidang pendidikan. “Universiti seharusnya berperanan dalam memberi galakan penyelidikan yang berasaskan inovasi dan pengkomersialan serta cipta inovasi yang berasaskan akar umbi dan lokal yang boleh menyelesaikan masalah rakyat seperti penyelesaian masalah terhadap isu-isu keterjaminan makanan, air, bekalan elektrik dan juga isu kesejahteraan emosi”, ujarnya
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof Madya Dr Rosmilah Misnan.

Sementara itu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata Edu@Innovate 2023 yang bertemakan “Synergising Translational education 5.0 in Knowledge, industries and Humanities” berjaya menghimpunkan 308 pempamer daripada pelbagai sektor akademik, professional, industri, pelajar pasca siswazah, pelajar pra siswazah, guru dan murid sekolah.

“Tujuan utama Edu@Innovate ini juga adalah untuk menyebarkan ekosistem inovasi dalam masyarakat melalui idea-idea baru dan memenuhi keperluan pendidikan negara terutama untuk agensi dan industri yang memerlukan, dan ekspo ini telah berjaya mencapai matlamat penganjuran dan akan menjadi acara tahunan berprestij anjuran UPSI dalam usaha untuk memertabatkan inovasi dalam pendidikan negara”, katanya.

Barisan Pengurusan UPSI bersama sebahagian agensi dan industri dalam sesi penyerahan simbolik kolaborasi.

Sepanjang dua hari berlangsungnya Edu@Innovate, beberapa agensi dan industri telah menunjukkan minat untuk berurusan melalui pelbagai kerjasama strategik bagi merealisasikan potensi pengkomersialan produk dan inovasi yang dipamerkan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar, industri dan agensi yang telah menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama dalam pengkomersialan inovasi ini adalah seperti daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementrian Sains, Tekhnologi Dan Inovasi, Mechabotics Technology Sdn. Bhd, H3C Technology Solution Malaysia Sdn. Bhd, Akito Global Incorporated, Luncai Emas, Metrowealth International Group, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Emerging Journey Malaysia, Sim Education Learning Sdn.Bhd, Ana Muslim Sdn. Bhd, Athar Foundation, Forest House Sdn.Bhd, Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd dan World of Robotics Sdn. Bhd.

Prof Md Amin bersama antara peserta Edu@Innovate 2023.

“Selain itu nama-nama besar dalam industri juga hadir dalam menyokong penganjuran Edu@Innovate. Mereka adalah Datuk M. Nasir Pengarah urusan Luncai Emas, Tuan David Teo Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth dan bekas ahli Bina Badan Negara, Datuk Malek Noor yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd. Dengan sokongan daripada mereka yang telah berjaya dalam industri ini ianya memberi suntikan kepada peserta Edu@Innovate untuk lebih keterlibatan bagi menyediakan produk inovasi yang boleh di pasarkan dan digunakan dalam masyarakat,” ujarnya.

“Impak daripada kolaborasi strategik agensi dan industri berkenaan adalah sumbangan dalam bentuk barangan, perkhidmatan dan kewangan dalam jumlah lebih kurang 10.5 juta, sebagai contohnya Syarikat H3C telah menyumbang peralatan untuk kelestarian inovasi dengan nilai melebihi RM500,000, manakala Athar Foundation bersedia untuk menyumbang dana melebihi RM2 juta untuk projek pendigitalan rujukan hadis melalui laman sesawang dan aplikasi telefon pintar. Seterusnya, Akito Global Incorporated telah memberi komitmen sebanyak RM42,000 untuk program Edutourism@UPSI. Berkat sokongan dan dorongan industri ini diharapkan ianya memberi semangat kepada penyelidik di UPSI untuk menghasilkan inovasi yang boleh memberi manfaat kepada negara” katanya lagi.

Menurut Prof Madya Dr Rosmilah Misnan, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Edu@Innovate telah mengiktiraf sebanyak 71 produk inovasi pendidikan yang dipertandingkan sebagai penerima pingat emas, manakala lain-lain produk terbaik juga telah diiktiraf sebagai penerima pingat perak dan gangsa. “Sebanyak tujuh anugerah khas juga telah diumumkan dalam Edu@Innovate ini. Produk-produk berkenaan adalah seperti pengurusan wakaf, zakat, infaq dan dana melalui teknologi solar. Kemudian, produk STEM iaitu Pronaja X2, Kembara Visual, Teknik SAMS MT Jadual Bergambar, Inovasi Murid Berkeperluan Khas SEReSA, My Aqua Wellness Centre dan Seni Gores D’Tanjung”, ujarnya.

Antara Rakan Strategik UPSI yang diraikan sempena Edu@Innovate 2023

Timbalan Pengarah RMIC UPSI, Prof Dr Ahmad Jazimin Jusoh, yang menguruskan Unit Perundingan, Pengkomersialan dan Inovasi UPSI pula menyifatkan ekspo ini sebagai satu usaha UPSI dalam memperkembangkan penyelidikan dalam bidang pendidikan yang berfokus kepada inovasi dan pemindahan ilmu yang boleh menguntungkan rakyat.

“UPSI melalui RMIC akan terus komited dalam penganjuran aktiviti seperti ini memandangkan kolaborasi antara agensi, industri dan ahli akademik sangat penting untuk menghasilkan inovasi yang bersifat pembuktian data dan saintifik”, ujarnya. -SM

Baca : Agensi kerajaan diperdaya sindikit penipuan ‘Datuk Wira’ bernilai RM1 bilion

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button