Ekonomi

EDOTCO siap bina 45 menara komunikasi untuk pelan JENDELA Pahang Fasa 1

EDOTCO Malaysia bersama anak syarikatnya, Alam Mindscape (dahulu dikenali sebagai Touch Mindscape) dan Shahzan Alam Muda hari ini mengumumkan penyerahan 45 menara komunikasi baharu yang telah siap dibina di
Pahang di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Majlis penyerahan telah dihadiri dan
dirasmikan oleh ExcoO Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan & Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal sebagai simbolik sedia terima bagi pihak kerajaan Negeri dalam usaha untuk melonjakkan kadar liputan 4G sekali gus membolehkan rakyat Pahang menikmati kualiti perkhidmatan internet yang lebih baik.

Secara keseluruhan, sebanyak 191 menara komunikasi di bawah program JENDELA Fasa1 telah siap dibina di seluruh Pahang, dengan EDOTCO menyumbang 24% daripada jumlah keseluruhan tersebut. Pahang kini menjadi antara negeri yang terawal mencapai status siap sepenuhnya dan menara-menara ini telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh syarikat penyedia infrastruktur yang dilantik oleh MCMC.

Pemuktamadan Pelan JENDELA Fasa 1 ini juga turut selari dengan Pelan Digital Pahang 2021-2025, yang bertujuan mewujudkan ekosistem digital yang kondusif dan berintegrasi antara kerajaan, rakyat, dan sektor swasta.

Pelan ini juga membudayakan gaya hidup digital dalam kalangan rakyat serta meningkatkan imej negeri Pahang sebagai sebuah negeri yang berdaya maju dan bersedia secara digital untuk menarik pelabur luar.

Fadzli berkata,  kerajaan Negeri telah melihat peningkatan positif dalam tahap kesalinghubungan digital dan capaian liputan internet di Pahang yang kini mencapai 99.33% berbanding sebelum pelaksanaan pelan JENDELA iaitu 89.1% pada 2020.

“Kerajaan Negeri bersama dengan MCMC akan terus memberi tumpuan kepada baki projek-projek di bawah inisiatif JENDELA di negeri Pahang yang masih belum selesai untuk disiapkan sepenuhnya. Setakat 31 Disember 2024, sebanyak 144 menara daripada jumlah keseluruhan 191 telah siap beroperasi. Manakala baki 47 lagi
disasarkan akan siap secara berperingkat sepenuhnya menjelang akhir suku pertama 2025,” katanya.

Selain itu, beliau juga menambah, kerjasama erat pihak-pihak berkepentingan baik daripada pihak Kerajaan mahupun swasta, seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat penyedia infrastruktur seperti EDOTCO serta syarikat pengendali rangkaian mudah alih sebagai contoh, adalah amat penting dalam memastikan kejayaan projek JENDELA di peringkat negeri mahupun nasional.

Selain daripada negeri Pahang, EDOTCO juga telah memuktamadkan dan menyerahkan sepenuhnya menara-menara komunikasi yang dibina di bawah Pelan JENDELA di negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah. Setakat ini, EDOTCO telah melengkapkan pembinaan sebanyak 230 menara komunikasi di seluruh negara iaitu sekitar 90 peratus daripada jumlah keseluruhan 258 menara komunikasi di bawah mandat JENDELA Fasa 1.

Manakala baki 27 menara telah siap didirikan dan sedang dalam proses akhir penyerahan kepada syarikat pengendali rangkaian mudah alih selewat-lewatnya pada penghujung Januari 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO, Adlan Tajudin, berkata “Sebagai penyedia infrastruktur digital terbesar di Malaysia, kami komited untuk mendayakan pelaksanaan JENDELA dalam menyokong agenda digital negara.

“Komitmen ini kami zahirkan melalui 45 menara yang telah siap dibina di seluruh negeri Pahang. Melalui anak
syarikat kami, Alam Mindscape, kami kekal fokus dalam memperkasa pembangunan infrastruktur komunikasi di Pahang, seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Selain itu juga, sebagai pemegang taruh sektor telekomunikasi Negeri Pahang melalui Shahzan Alam Muda yang merupakan agensi pusat sehenti (OSA), kami turut memainkan peranan aktif dalam mendokong Kerajaan Negeri ke arah pembangunan yang lebih sistematik dan pendekatan berasaskan data (data-driven approach) bagi memastikan kemajuan yang mampan dan menyeluruh untuk seluruh rakyat Pahang.”

Pelan JENDELA memfokuskan kepada usaha untuk merapatkan jurang digital di Malaysia, sekaligus menyokong pembangunan wilayah yang seimbang serta pembangunan teknologi baharu dan teknologi komunikasi akan datang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button