Politik

ECRL: Bersabarlah Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membidas bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkaitan isu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ini berikutan Anthony tidak bersetuju jajaran projek ECRL kembali kepada asal seperti yang dirancang pada peringkat awal ketika Barisan Nasional berkuasa.

Ka Siong berkata, dakwaan kononnya jajaran asal menambah kos pembinaan secara mendadak iaitu sebanyak RM20 bilion adalah tidak berasas.

“Setelah disemak secara mendalam, saya dapat mengesahkan bahawa kadar unit kos pembinaan samada struktur jejambat atau terowong yang digunakan oleh kontraktor Projek ECRL tidak pernah berubah atau dikurangkan meskipun jajaran baru dicadangkan oleh PH.

“Dengan mengambil pendekatan pengurangan skop dalam kerja landasan berkembar “double track formation” seperti yang dilakukan untuk pakej A & B bagi projek ECRL maka kos pembinaan jajaran asal boleh dikurangkan.

“Bersabarlah Anthony, bila jajaran pakej C sudah dimuktamadkan, barulah komen tentang kos berdasarkan kuantiti kerja dan jarak. Itu baru adil!” kata Ka Siong.

Ka Siong turut menjawab dakwaan Anthony kononnya jajaran baru dapat mengelak daripada pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer bagi merentasi Banjaran Titiwangsa di Genting.

“Tetapi kenapa pula Anthony Loke tidak mendedahkan bahawa di bawah perjanjian tambahan (supplemental agreement no.5) SA5, masih terdapat pembinaan terowong-terowong lain bagi merentasi Banjaran Titiwangsa di Kuala Klawang?

“Selain itu, di dalam perjanjian SA5 yang sama, terdapat peruntukan untuk semak semula kuantiti terowong atau jejambat dengan penambahan sehingga 41km.

“Ini menjadikan kos pembinaan ECRL lebih dari RM46 bilion, bukannya RM44 bilion seperti yang pernah diumumkan oleh Tun Daim Zainuddin,” kata Ka Siong.

Mengenai dakwaan Anthony bahawa Permatang Kuarza Klang Gate bakal dimusnahkan sekiranya jajaran asal dibina, Ka Siong mempersoalkan mengapa bekas menteri pengangkutan itu tidak menilai opsyen yang disediakan oleh kontraktor yang mana permatang kuarza Gombak dapat dielak dan diselamatkan,

“Cadangan ini sudah lama diketengahkan, saya juga hairan kenapa mantan Menteri Pengangkutan Anthony tidak pernah mengambil tahu perkara ini?

“Saya nak beritahu Anthony bahawa semua opsyen penyelesaian yang dikemukakan kepada Kerajaan Selangor pasti tidak merosakkan permatang kuarza Gombak. Kalau tidak percaya, boleh semak dengan MRL,” kata Ka Siong.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button