Ekonomi

ECERDC optimis pacu pertumbuhan pelaburan kukuh untuk Terengganu bagi 2022

Pertumbuhan sosioekonomi Terengganu dijangka akan kekal kukuh dan berdaya tahan berikutan usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama-sama Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan projek berimpak tinggi.

ECERC menyasarkan pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal mewujudkan lebih 2,800 pekerjaan baharu dan 250 peluang keusahawanan di Terengganu serta RM2 bilion pelaburan yang akan direalisasikan pada tahun 2022.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, ECERDC akan mempromosikan Terengganu secara agresif sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif melalui misi pelaburan, webinar pelaburan serta penglibatan dengan pihak berkepentingan.

Antara pelaburan yang disasarkan untuk di komited pada tahun 2022 adalah dalam pengeluaran keluli, tenaga, hartanah dan logistik.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mempengerusikan mesyuarat  Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu di Dungun, Terengganu, hari ini, dalam memuji usaha ECERDC dalam menarik pelaburan berkata, dengan strategi ekonomi yang tepat dan pembangunan infrastruktur pengupaya, Terengganu sememangnya sebuah destinasi pelaburan yang menarik.

Dalam mesyuarat ICC, Menteri Besar Terengganu dan ahli-ahli mesyuarat ICC turut dimaklumkan mengenai perkembangan projek ECERDC di negeri Terengganu.

Ahli-ahli ICC juga dibawa melawat program empower ECER-Mekar di Dungun selepas mesyuarat ICC diadakan di mana mereka menyaksikan program keusahawan yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan PETRONAS.

Antara kursus yang dijalankan termasuklah Digitalpreneur (i-Trader), Tailorpreneur, Spa dan Kecantikan dan Bakeri & Pastri.

Tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk melatih seramai 1,200 pelajar di 30 buah sekolah di bawah Program Latihan Akademik empower ECER manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih 450 peserta di Terengganu.

Dengan kejayaan program perintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang dijalankan tahun lepas, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) yang ditubuhkan oleh ECERDC mengorak langkah ke hadapan dan melatih peserta yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di bawah program ACES-ECER Jobs Train & Place.

Program ini menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 800 peserta di ECER dilatih dengan sasaran kadar penempatan pekerjaan sebanyak 80%.

Sehingga kini, 145 peserta dari Terengganu telah dilatih dan berjaya bekerja dalam industri ICT.

Pada masa yang sama, ECERDC kekal focus dalam menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC bagi memastikan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik baru-baru ini.

Sehingga kini, 4,218 peserta telah dilatih di Terengganu dan 91% telah memperolehi pekerjaan dengan purata pendapatan bulanan sebanyak RM2,300. Pada tahun ini, 400 peserta lagi dijangka akan dilatih di bawah program yang sama.

Selepas melawat program empower-ECER Mekar, YAB Menteri Besar Terengganu dan ahli-ahli mesyuarat ICC turut melawat projek Tanjung Buatan di Teluk Lipat di mana mereka diberi taklimat oleh ECERDC dan Jabatan Landskap Negara tentang potensi aktiviti ekonomi dan rekreasi di sepanjang tanjung buatan.

Terdapat empat (4) lagi tanjung yang masih diperingkat pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2022.

Setelah siap pembinaan, lapan tanjung yang dibina oleh ECERDC ini akan melindungi pinggir pantai sepanjang 9.7km sehingga ke Sungai Sura.

“Kami telah mengambil peluang ini untuk membawa anggota mesyuarat ICC melawat Tanjung Buatan di Teluk Lipat yang dibangunkan untuk perlindungan pantai serta melihat potensi pertumbuhan masa hadapan.

“Tanjung Buatan di Teluk Lipat akan dibangunkan untuk aktiviti pelancongan seperti taman riadah dengan aktiviti sukan air, kedai-kedai dan juga lokasi cadangan taman RV perintis yang bakal menjadi daya tarikan utama kawasan tersebut serta meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat selepas lawatan tersebut.

Projek-projek lain yang sedang diusahakan oleh ECERDC di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, ialah pembangunan KTCC Promenad Fasa 1, Taman Biopolimer Kerteh (KBP) Fasa 4, bangunan PKS Fasa 1B di KBP, serta Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu Pakej 2.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button