Politik

Siapa Yang Laungkan ‘Bubar Parlimen’ Memang Biadab – Sahrul Fadhel

Desakan sesetengah pihak agar Parlimen dibubarkan sejurus kemenangan diraih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan amat biadap.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian, Shahrul Fadhel Mohd Aziz terkilan dengan tindakan khalayak melaungkan ‘Bubar Parlimen’ yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyifatkan tindakan itu amat biadap dan kurang ajar kerana kemenangan BN dalam PRN Johor adalah disebabkan perasaan yakin rakyat di bawah kepimpinan Ismail Sabri daripada parti itu yang sedang memacu negara ke arah pemulihan berikutan berbagai musibah yang melanda.

“Dalam kegembiraan meraikan kemenangan BN menggalas tanggungjawab pentadbiran, saya secara peribadi merasa sedikit ralat dan terkilan apabila terlihat di khalayak, ‘segelintir’ pihak yang melaungkan ‘Bubar Parlimen!’ ‘di atas muka’ YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan cara yang boleh dikatakan amat biadap dan kurang ajar.

“Kemenangan ini hadir bersama besarnya tanggungjawab untuk membawa aspirasi rakyat dan semestinya tidak dapat dinafikan sama sekali ‘mood’ rakyat yang menyebelahi BN ini dicapai dari rasa yakinnya rakyat dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Juga juga tak dilupakan sokongan padu dan jitu dari YB Presiden UMNO dan seluruh saf kepimpinan UMNO dan BN terhadap beliau, maka amat tidak wajar jika segelintir pihak ini bersikap kurang ajar kepada YAB PM seolah beliau datang pihak lawan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Shahrul Fadhel berkata, pembubaran Parlimen bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah dan dilakukan dengan emosi sebaliknya banyak aspek perlu diambil kira.

Beliau turut mengingatkan bahawa jangan disebabkan sikap terburu-buru dan terlalu yakin itu akan memakan diri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti.

“Jangan nanti dengan sikap terburu-buru merasa terlalu yakin membuatkan rakyat menjadi ‘meluat’ dan ‘mood’ rakyat beralih kepada pihak lain dalam PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu sama, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Farid Md Nor, berkata pihaknya kesal provokasi segelintir penyokong BN terhadap Ismail Sabri di Command Centre BN di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Kumpulan ini melakukan provokasi dengan menjerit meminta Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU15 diadakan segera.

“Tindakan sebegini bukanlah budaya UMNO. Ia adalah tindakan keterlaluan yang memberi impak negatif kepada Barisan Nasional dan jelas tidak menghormati institusi Perdana Menteri yang ditunjangi UMNO.

“Tindakan kumpulan ini juga memberi persepsi seolah-olah UMNO merupakan sebuah parti yang rakus, bongkak dan terlalu kuat selepas menang besar di PRN Johor,” katanya dalam kenyataan.

Pergerakan Pemuda UMNO negeri Pahang berpendirian, setiap keputusan besar seperti ini haruslah dibincang secara terperinci terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi BN.

“Kita perlu menilai betul-betul persediaan dan kemampuan kita sebelum memutuskan untuk mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat. Jagalah perpaduan, hubungan silaturrahim dan sikap hormat-menghormati sesama kita. Inilah kunci kejayaan kita selama ini,” katanya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang, Robiah Abd Rani, berkata kemenangan BN di Johor sedikit tercalar berikutan insiden segelintir penyokong parti yang tidak beradab kepada Perdana Menteri.

“Hal ini jelas bercanggah dengan bercanggah dengan budaya UMNO. Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin. Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab.

“Di peringkat akar umbi, janganlah berperangai terlebih sudu dari kuah. Hormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa-apa jua isu.

“UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru itu, gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan anda,” katanya.

(Visited 590 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button