Pendakwah bebas, Ebit Lew memberitahu semua persoalan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya melibatkan misi kemanusiannya di Gaza, Palestin akan dijawab pukul 12 tengah hari esok.
Menurut Ebit, siaran langsung di media sosialnya itu akan menjawab kepada semua fitnah yang melampau dan langsung tak berasas terhadap saya.
“Saya bersyukur pada Allah kerana dia Maha Baik dan Maha Besar. Saya cuma orang biasa dan pendosa.
“Syukur direzekikan dapat menjadi sebahagian kecil usaha kasih sayang ini. Saya diajar untuk tidak menjawab dan bergaduh dari kecil.
“Tapi semenjak di Mesir fitnah dan kata sinis terus menimpa saya. Dari dulu lagi saya dah biasa difitnah dan dikata begini.
“Ini menyebabkan arwah bapa saya menangis. Isteri dan anak saya menangis tertekan. Saya benar-benar kecewa dan sedih,” katanya.
Sementara itu, penyanyi, Caprice meluahkan rasa kecewanya dengan pihak yang menggunakan kuasa untuk menyembunyikan orang lain.
Menurut penyanyi itu, dia sudah meminta maaf dan tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi.
“Ini adalah kali kedua benda macam ni berlaku tahun ni. Caprice dan cukup penat dan serah semua kepada Allah.
“Saya pilih untuk teruskan kehidupan dan memperbaiki diri saya sendiri. Saya belum pulih sepenuhnya daripada pengalaman sebelum ini tetapi InsyaAllah, I will get to a better place mentally and physically,” katanya.
Dalam pada itu, Caprice juga membatalkan siaran langsung berkenaan pendedahan yang ingin dibuat berkenaan dengan perkara yang berlaku di Gaza, Palestin terutamanya melibatkan nama negara.
Menurut Caprice, dia meminta maaf kerana terpaksa membatalkan siaran itu kerana sudah ada pihak yang membuat laporan polis.
“InsyaAllah, kebenaran akan terungkai dengan sendiri,” katanya.
Terdahulu, Ebit membuat satu laporan polis di Ibu pejabat Polis Dang Wangi berkaitan dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya baru-baru ini.
Ebit membuat laporan polis kira-kira pukul 6.15 petang dan selesai kira-kira pukul 7 petang.
Menurut Ebit, antara nama yang turut disebut di dalam laporan polis itu ialah Caprice dan seorang individu yang kini berada di Gaza iaitu Nadir Al Nuri.
Terdahulu, terdapat beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa pemergian Ebit ke Gaza akan menyebabkan kesukaran untuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk masuk ke Palestin. -SM