BeritaNasional

Duta Yaman kongsi detik menyentuh hati ketika sertai rombongan berbasikal Raja Muda Perlis

KUALA LUMPUR, 22 Nov — “Ia bukan kayuhan biasa.”

Ekspresi mudah dan jujur ini dikongsi Duta Yaman ke Malaysia Dr Adel M Ba Hamid kepada Bernama dalam satu kenyataan pada Khamis mengenai pengalaman beliau berbasikal dengan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.

Melalui acara tempatan yang menyaksikan raja muda itu bertemu golongan miskin di sekitar Perlis dengan berbasikal, Adel secara peribadi menyifatkan kayuhannya bersama rombongan diraja sebagai sesuatu yang “istimewa.”

“Saya menyangka ia hanya satu lagi aktiviti sukan namun ia melepasi jangkaan itu…ia begitu menyentuh hati saya dan acara itu sendiri menanamkan banyak konsep serta nilai dalam jiwa peserta mahupun penerima,” katanya.

Pada 17 Nov, satu rombongan berbasikal yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin melakukan kayuhan melewati kampung-kampung terpencil dan menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan kepada golongan kurang bernasib baik.

Mengulas lanjut, Adel menzahirkan penghargaannya kepada Tuanku Syed Faizuddin kerana membenarkan beliau turut menyertai pengalaman bertemu penduduk tempatan dan keluarga yang memerlukan melalui acara itu.

“Saya berasa amat bertuah dan berterima kasih kepada baginda kerana memberikan peluang ini kepada saya untuk melihat satu model masyarakat dan solidariti yang begitu indah terutama selepas saya meluangkan masa lebih 25 tahun dalam melakukan kerja-kerja kebajikan serta pembangunan komuniti.

“Program ini sememangnya meliputi banyak kawasan dan sektor, menyediakan pelbagai perkhidmatan dan paling penting, menyumbang kepada penyebaran satu konsep dan nilai yang hebat dalam kalangan peserta dan penerima apa yang diperlukan masyarakat hari ini.

“Saya amat gembira untuk menzahirkan perkara ini dari lubuk hati saya, Menjunjung Kasih Tuanku,” kata Adel yang memegang jawatan sejak Oktober 2016.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button