Nasional

Duta Belgium zahir rasa sungguh luar biasa dan menakjubkan iringi Raja Muda Perlis santuni asnaf

Berbasikal dalam program ‘MAIPs Peduli’ mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menjejaki dan menyantuni golongan asnaf terpilih di negeri ini adalah satu pengalaman yang sungguh luar biasa dan menakjubkan.

Demikian diungkapkan oleh Duta Besar Negara Belgium ke Malaysia, TYT Pascal Hubert Gregoire selepas menyertai baginda dalam sesi kayuhan kali ke 10 bagi tahun 2020 ini anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Kangar pada isnin petang.

Berangkat sama ialah anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

TYT Pascal menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Tuanku Raja Muda Perlis di atas peluang yang diberikan untuk bersama dengan baginda dalam aktiviti berkenaan. Seluruh rakyat patut berbangga dengan inisiatif, komitmen serta sentuhan peribadi usrah keluarga DiRaja Perlis yang beliau amati sangat rapat dan mesra dengan rakyat jelata.

TYT kagum dengan program ini yang turut melibatkan penyertaan ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan yang sama-sama memainkan peranan masing-masing membantu golongan yang memerlukan dengan penuh semangat setia kawan serta kesukanan melalui aktiviti riadah sebegini.

Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di Afghanistan, Kosovo dan Kongo sudah merantau ke banyak buah negara akan tapi ini merupakan kali pertama beliau dapat melalui pengalaman yang sangat mendewasakan ini.

TYT Pascal turut teruja dengan pemandangan negeri Perlis yang begitu indah dan mempesonakan.

Yang paling istimewa dikongsikan beliau ialah semua pihak yang terlibat dalam aktiviti murni bersama Tuanku Raja Muda dan juga MAIPs ini patut berbangga kerana mereka adalah “role model” kepada pihak-pihak lain yang di luar sana dan aktiviti sebegini wajar dituruti dan diaplikasikan juga di tempat-tempat lain di seluruh dunia khususnya di mana masih terdapat ramai golongan yang memerlukan sebagai ‘The Perlis Model’.

Tambah beliau lagi, ciri-ciri kasih sayang dalam Islam sangat menyerlah dalam aktiviti berbasikal ini bilamana semua pihak bersama-sama turun padang mengambil berat antara satu sama lain.

Selain menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 33 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Kg Repoh, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan projek peningkatan sosio-ekonomi asnaf MAIPs kepada Kamarudin Dahaman, 55 tahun (No Tel : 019-4522530) di alamat B 5 17 Pangsapuri Seri Sena, Kangar yang mengusahakan perniagaan ‘Apam Balik’ sejak lima tahun yang lalu dan pernah mendapat Bantuan Modal Pusingan daripada pihak MAIPs berjumlah penuh sebanyak RM1,500 pada Disember 2015 dan Februari 2020. TYT Pascal turut berpeluang ditunjukkan cara-cara membuat ‘Apam Balik’ dan menganggapnya sebagai seenak ‘Belgian Waffles’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button