NasionalNegeri

Durian Musang King akan dapat pensijilan

INSTITUT Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad Negeri Perak akan melaksanakan pensijilan durian Musang King bagi menjamin kualiti dan menstabilkan harga raja buah tersebut.

Pengarahnya, Mohd Adzhar Ahmad berkata, pada ketika ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri dan Insititut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang membangunkan piawaian standard khusus untuk pensijilan berkenaan yang dijangka dapat dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

“Setiap negara ada keperluan untuk mengimport sesuatu produk. Sekiranya durian Musang King mempunyai pensijilan, tidak perlu ada banyak dokumentasi dan sekali gus dapat mengurangkan karenah birokrasi.

”Selain itu, pensijilan ini juga dapat menyelaraskan harga dari segi gred durian itu. Jadi tidaklah durian Musang King nanti dijual pada harga yang tidak munasabah,” katanya seperti dilaporkan Bernama usai merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pekebun Durian Negeri Perak, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Durian Perak, Nor Hisham Nayan pula berkata, pihaknya sedang merancang beberapa inisiatif untuk membantu pekebun durian di Perak dan meningkatkan lagi kualiti tanaman.

Beliau berkata, beberapa kursus akan dianjurkan untuk ahli persatuan tersebut dengan kerjasama pelbagai agensi seperti kursus lanjutan, kursus biodiversiti dan kursus untuk kalangan pekebun baharu.

“Kita juga akan melantik Ahli Jawatankuasa (AJK) di setiap daerah bagi memantau keperluan ahli.

“Saya bersama AJK akan turun padang untuk memberi khidmat nasihat yang disediakan persatuan mengenai tanaman durian kepada 500 ahli kita,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button