Nasional

Guru pembimbing manusia temui sinar kebenaran melalui ilmu

KEMAJUAN dan tahap intelek sesuatu bangsa terletak pada tahap penguasaan ilmu yang boleh dicapai melalui pendidikan yang berkualiti dan melalui khidmat bakti guru yang berdedikasi.

Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tuanku Zara Salim yang berkenan menyampaikan titah bagi menyempurnakan sesi pertama penganugerah ijazah sempena majlis Istiadat Konvokesyen ke-23 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini menganggap guru ialah insan berilmu yang berada dalam alam ilmu, berperanan sebagai perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu, malah guru adalah pendidik yang mengambil tanggungjawab membimbing manusia menemui sinar kebenaran melalui ilmu.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 6,606 orang graduan menerima ijazah dan diploma iaitu 141 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 683 Ijazah Sarjana, 3,611 Ijazah Sarjana Muda, 189 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah, dan 1,982 graduan Diploma.

Titah baginda, Pendeta Za’ba menyifatkan ilmu sebagai asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran, malah ilmu adalah asas utama untuk mencapai kejayaan.

Titah Baginda lagi, sejak 100 tahun lalu, bermula daripada penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1922, UPSI memiliki akar sejarah sebagai institusi pengajian tinggi yang diamanahkan untuk melahirkan graduan pendidikan yang memenuhi tanggungjawab menjadi guru di seluruh pelosok negara.

“Guru memenuhi peranan mengajar, mendidik, pengasuh dan pembimbing yang memberikan panduan dan teladan malah guru diasuh menjiwai semangat pendidik yang ikhlas, tekun, bersungguh, mengasuh dan membimbing anak-anak didik agar menjadi insan berilmu.

Baginda bertitah, sebaik-baik kitab bagi seorang murid ialah gurunya lantaran guru ialah pusat kepada pendidikan, bertanggungjawab mencanai minda murid, membekalkan kompas agar muridnya berupaya menakhodai pelayaran hidup, memberikan inspirasi dan motivasi kepada anak-anak didik.

Justeru Tuanku Zara menzahirkan penghargaan kepada guru yang berupaya memenuhi tugas berat yang dipertanggungjawabkan dalam keadaan kurang peralatan, baik dipihak pengajar, lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar, terutama yang mendiami dalam kawasan akses Internet yang amat lemah dan terhad, namaun tetap mempamerkan sifat istimewa yang luar biasa, sabar, tekun, gigih dan tabah.

Baginda menyeru UPSI melakukan kajian dan menyediakan laporan mengenai pengalaman yang dilalui oleh guru ketika melaksanakan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah bagi mengenal pasti aspek kelemahan dan kekurangan serta penambahbaikan yang boleh disarankan.

“Kajian dan laporan selanjutnya boleh dikemukakan sebagai maklum balas penting kepada kerajaan menjadi pembuka mata kepada kerajaan dan profesion keguruan untuk menerokai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, praktikal dan realistik dalam suasana darurat dan di luar norma.

Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim menyampaikan Anugerah Diraja kepada Dusha Nanthakumar yang ditemani kedua ibu bapanya di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Pada sesi pertama itu, suasana Dewan Tuanku Canselor syahdu seketika apabila Baginda menganugerah ijazah secara anumerta yang diwakili keluarga masing-masing untuk Sapawi Hamdan (Ijazah Doktor Falsafah Bidang Syariah), Roshdan Ahmad (Doktor Falsafah Pendidikan Sains Sukan) dan Kannadhasan A/L Subramanian (Ijazah Sarjana Kesusasteraan Tamil).

Baginda turut menyampaikan Anugerah Diraja kepada dua graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Dengan Kepujian iaitu Dusha Nanthakumar dan Siti Khadijah Asha’ari. – SM

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button