DUN Melaka kecoh isu pelantikan Speaker
BABAK awal persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini kecoh berikutan desakan anggota Perikatan Nasional (PN) diketuai Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) supaya Speaker DUN Melaka, Datuk Omar Jaafar, digantikan dengan anggota PN.
Persidangan sehari yang bermula jam 9.30 pagi itu menjadi kecoh kerana pertikaman lidah dan cabar mencabar antara wakil rakyat PN dan Pakatan Harapan (PH).
Omar cuba menenangkan keadaan dengan menerangkan bahawa dirinya masih Speaker DUN Melaka berdasarkan prinsip ‘de facto’, namun Idris berterusan mempersoal kedudukan Omar dan bertindak membaling buku peraturan dewan ke arah tempat duduk Speaker DUN Melaka itu.
Ini menyebabkan Omar bertindak menangguhkan persidangan itu ke suatu tarikh yang akan diberitahu kemudian pada jam 10 pagi dan bertindak keluar daripada dewan persidangan diikuti 11 ADUN PH.
Bagaimanapun, drama itu tidak berakhir di situ. Pada jam 10.45 pagi petugas BERNAMA dan RTM yang dibenarkan membuat liputan sidang DUN dikejutkan dengan panggilan untuk masuk semula ke dewan bagi liputan persidangan dengan kehadiran 16 daripada 28 ADUN, kesemuanya penyokong kerajaan.
Idris, bekas Ketua Menteri, yang dilihat meninggalkan dewan selepas Omar tidak hadir dalam sesi persidangan itu, menyebabkan hanya tinggal 16 ADUN kerajaan.
Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) mempengerusikan sidang itu yang bertindak melantik Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker DUN Melaka Ke-14 dan Ghazale sendiri sebagai Timbalan Speaker DUN.
AB Rauf dicadangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) dan disokong oleh Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (BN-Asahan) sementara Ghazale dicadangkan oleh Datuk Latipah Omar (BN-Taboh Naning) disokong Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau)
Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar persidangan, Sulaiman mendakwa pelantikan Ab Rauf itu adalah sah di sisi undang-undang berdasarkan peruntukan di bawah Perlembagaan Negeri Melaka.
Beliau berkata berdasarkan peruntukan itu, cadangan usul untuk menangguhkan dewan perlu dibawa ke persidangan itu sebelum Speaker DUN Melaka boleh bertindak menangguhkan dewan, namun ia tidak berlaku.
“Walaupun di peringkat awal tadi ada sedikit kekecohan tetapi apabila kita merujuk di bawah peraturan-peraturan persidangan, membolehkan untuk kita terus bermesyuarat kerana tidak ada usul untuk menangguhkan dewan dan beliau (Omar) terus meninggalkan dewan bermakna Speaker tidak hadir.
“Apabila berlaku peralihan kerajaan pada dasarnya mesti dan pasti akan ada pertukaran Speaker DUN begitu juga dengan Timbalan Speaker DUN dan ia sememangnya berlaku di mana-mana negeri,” katanya.
Menurut beliau pada awalnya beliau akur dengan keputusan Speaker DUN yang menolak usulnya untuk melantik speaker baharu. Bagaimanapun, usul secara lisan boleh dibangkitkan dalam persidangan DUN kerana pemilihan speaker itu mestilah dalam persidangan dewan.
Dalam pada itu, persidangan dipengerusikan Ab Rauf itu juga meluluskan usul melantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sebagai Anggota Dewan Negara bagi mewakili negeri ini untuk tempoh tiga tahun.
Usul berkenaan dicadangkan Sulaiman dan disokong Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dengan mendapat persetujuan 16 daripada 28 anggota dewan. – BERNAMA