Politik

Duit habis, rasa tertipu, Lando Zawawi tak bertanding PRN

Masalah kewangan yang dihadapi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta janji yang gagal dikotakan parti diwakilinya antara perkara membuatkan pelakon yang juga aktivis masyarakat, Lando Zawawi tidak jadi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Menerusi sesi siaran langsung di media sosialnya, Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi berkata, banyak wangnya habis ketika bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 dan dia berasa tertipu dengan parti diwakilinya.

“Saya berterus-terang pengalaman saya ini agar jadi satu teladan kepada semua calon di luar sana supaya berhati-hati dengan parti politik.

“Perbincangan dengan satu parti semasa PRU15, saya tanya bagaimana dengan bajet? Mereka kata pakai duit sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia perlu menggunakan kos yang besar yang bergerak atas nama Brotherhood dan pendapatannya pun atas usaha Brotherhood.

“Mungkin saya tak boleh tampung semua kerana itu PRU yang lebih besar, bukan macam sekarang. Saya kini berhati-hati dengan parti politik.

“Saya disuruh guna duit sendiri dulu dan dikira kemudian. Sampailah akhirnya duit saya digunakan terlebih dahulu

“Apabila keputusan dikeluarkan mereka terus senyap. Ingatkan habis di situ saja, rupanya orang-orang parti yang bekerja pun tak dapat bayaran,” katanya.

Lando mendakwa, sehingga kini tenaga kerja yang dipanggil ranting parti menuntut RM20,000 dari parti berkenaan, manakala wangnya sendiri sekitar RM70,000 ke RM80,000 belum dilunaskan.

“Saya hantar surat kepada Presiden. Apabila semak, rupanya bajet itu ada tapi habis sebelum saya dicalonkan. Hairannya kerana yang berjanji dengan saya bukan calang-calang kerana ‘level’ (peringkat) mereka tinggi.

“Tapi Alhamdulillah walaupun saya tewas, usaha Brotherhood berjalan sampai sekarang sebab rezeki Allah punya. Kami ada kesempitan sikit dengan ekonomi tapi kami masih terus berjalan,” katanya.

Lando berkata, mana-mana universiti atau sekolah yang mana masih tak dapat bantuan untuk menyelesaikan masalah jalan berlubang bolehlah menghubunginya kerana ada peruntukan untuk mereka.

Menurut Lando, dia dihubungi pihak media dan penyokongnya yang bertanya penyertaan dalam PRN ini.

“Bukan tiada tawaran. Sebenarnya ada tiga tawaran dari parti berbeza. Tapi kita tak nak sebut parti mana. Brotherhood sebenarnya bebas.

“Pendirian kami tidak berparti sampai bila-bila sebab dalam Brotherhood pun ada penyokong pelbagai parti. Mereka diizinkan untuk undi parti mana kerana itu hak mereka.

“Sebenarnya kerusi Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak membawa erti yang besar pada saya. Sebabnya dari dulu sampai sekarang pun banyak YB (Yang Berhormat) minta tolong saya juga,” katanya yang lebih berminat dengan kerusi Parlimen.

Dalam PRU15, Lando bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket parti Pejuang tetapi tewas kepada calon Perikatan Nasional, Datuk Dr Zulkapferi Hanafi. – SM

BACA “Brotherhood tak lawan parti atau mana-mana calonnya, kami lawan sistem,” – Lando Zawawi

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button