Dua wanita didakwa memperdagangkan bayi
Dua wanita termasuk seorang jururawat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan bayi baru lahir, dua tahun lalu.
Tertuduh, Noor Azlina Mohd Nasir, 41, yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Alor Star, Kedah dan seorang suri rumah, D. Murugamal, 52, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama dengan niat menyeludup bayi perempuan yang berusia sembilan hari ketika kejadian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir sebuah hospital swasta di Manjung pada 18 Jun 2020, kira-kira jam 12 tengah hari.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua mereka diwakili peguam, Mohamad Firdaus Mohd Faruq.
Evangelin meminta jaminan RM15,000 untuk pertuduhan tetapi Mohamad Firdaus memohon jaminan rendah kerana kedua-dua tertuduh telah bekerjasama dengan pihak berkuasa dan datang ke mahkamah hari ini, walaupun dibebaskan dengan jaminan polis.
Mohamad Firdaus juga meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan kesihatan Murugamal yang menganggur dan mengalami masalah jantung serta diabetes.
Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 24 Feb untuk sebutan semula kes.