Nasional

Dua saksi baharu bakal beri keterangan hari ini

Sambung bicara kes Ahmad Zahid

PROSIDING perbicaraan kes Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung hari ini.

Dua lagi saksi pendakwaan akan tampil memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Semalam, tiga saksi pendakwa termasuk saksi penting, Chew Ben Ben telah memberi keterangan masing-masing.

Empunya syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, M. Kumaraguru A/L M. Muthusamy memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya itu ditubuhkan atas arahan rakan baiknya, Junaith Asharab Md. Shariff dan semua pengeluaran cek yang dibuat oleh syarikatnya adalah atas arahan Junaith.

Kumaraguru yang juga pemilik syarikat Jogabonito Jewellery & Diamonds ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh berkata, semua pengeluaran cek yang dibuat adalah untuk pembinaan masjid dan tahfiz melalui pemegang amanah, firma guaman Lewis & Co.

Chew Ben Ben pula memberitahu mahkamah, pertuduhan ke-14 dan pertuduhan ke-15 ke atas bekas Timbalan Menteri itu adalah fitnah.

Dua keping cek RM1 juta dan RM5 juta yang diberi oleh Datuk Abu Hanifah yang menggunakan cek Datasonic Sdn. Bhd., tegas Ben Ben adalah berupa sumbangan politik dan juga sumbangan kebajikan, derma dan amal jariah.

Mahkamah melepaskan tetapi tidak membebaskan saksi pendakwa ketiga semalam, Junaith yang selesai memberi keterangan.

Junaith dalam keterangan bersumpahnya semalam mendakwa keterangan bertulisnya dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM, Putrajaya dan dia memberitahu mahkamah, diugut oleh SPRM untuk bersetuju menandatangani keterangan bertulis sekiranya dia tidak mahu dituduh di mahkamah.

Hari ini perbicaraan kes rasuah dan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid masuk hari ke-18.

Barisan peguam bela Ahmad Zahid diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik, bersama peguam-peguam kanan Hamidi Mohd. Noh, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan beberapa orang lagi peguam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button