Dua penjenayah lari dari polis, mati lemas dalam tali air
BERANI kerana benar, takut kerana salah. Disebabkan rasa bersalahlah mendorong dua lelaki melakukan tindakan nekad meloloskan diri daripada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Lencongan Dua, Kangar, Perlis.
Tindakan mereka bagaimanapun telah mengundang padah apabila kereta curi yang dinaiki suspek terbabas ke dalam tali air lantas menyebabkan kedua-duanya lemas selepas gagal keluar dari kenderaan itu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt. Wari Kiew berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki suspek berusia 25 dan 21 tahun itu terbabas ke dalam tali air di kawasan sawah Kampung Ujong Batu, Utan Aji setelah dikejar oleh polis.
“Kereta itu tenggelam dalam air. Beberapa orang kampung yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan suspek namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
“Hasil siasatan dan semakan lanjut ke atas nombor pendaftaran berkenaan merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang pada tahun 2015,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM