Nasional

Dua minggu kertas siasatan tren tak berhenti di Hentian Gris, siap

TUNGGU dua minggu lagi kertas siasatan terperinci berhubung kejadian tren Shuttle timuran No 51 tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai, Kelantan, siap.

Tren berkenaan tidak berhenti di stesen Kuala Gris awal pagi semalam mengakibatkan 100 orang pelajar sekolah terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Zain Taha berkata, panel siasatan KTMB akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk dari aspek teknikal, operasi dan corak perjalanan tren berkenaan.

“Jangkaan  siasatan biasanya akan mengambil masa dua minggu sahaja kerana panel siasatan akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai insiden terbabit.

“Apabila penilaian panel siasatan terhadap kes tersebut selesai, ia akan diserahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kakitangan yang terlibat,” katanya seperti dilapor BERNAMA selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, hari ini.

Mengulas lanjut Zain berkata, empat kakitangan KTMB terlibat terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket telah digantung tugas buat sementara waktu sehingga selesai siasatan kes.

“Kita juga akan memanggil beberapa lagi kakitangan sebagai saksi untuk melengkapkan kes siasatan. Pihak KTMB menganggap insiden ini sepatutnya tidak berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan apabila tren yang menjadi pengangkutan utama mereka ke sekolah tidak berhenti di stesen terbabit.

Jarak perjalanan menaiki kereta api dari Hentian Gris ke stesen Hentian Dabong mengambil masa kira-kira 15 minit. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button