MAHKAMAH Tinggi Kangar hari ini membebaskan dua lelaki dari tuduhan menyeludup dua wanita Thai di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kilometer 24, Jalan Ulu – Pauh, Padang Besar, empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan tersebut ke atas Chan Jia Xiong, 28 dan Gan Cheng Hock, 33.
Jia Xiong dan Cheng Hock telah dituduh di bawah 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIP/SOM) dimana jika disabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua tertuduh telah dipanggil untuk membela diri pada 2 Disember 2021. Sebelum itu peguam tertuduh, dalam penghujahan telah membangkitkan beberapa isu.
Antaranya kedua-dua tertuduh hanya ditahan di SJR AKSEM di Padang Besar dan bukan ditangkap semasa melintasi sempadan.
Selain itu kedua-dua tertuduh juga tidak mempunyai pengetahuan bahawa kedua-dua migran telah tinggal lebih masa dan hanya ingin menghantar kedua-dua migran itu ke pekan Padang Besar.
Juga terdapat satu deposisi yang baharu daripada salah satu migran asing yang mengatakan bahawa kedua-dua tertuduh tidak berniat untuk membawa migran tersebut untuk pulang ke Thailand secara yang tidak sah.
Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Muhammad Hafiz Hashim.
Tertuduh, Jia Xiong diwakili oleh peguam Terence Naidu dan Cheng Hock pula diwakili peguam S. Devandran dan Ch’ng De Sern. – SM