Dua buah hotel di Melaka diarahkan ditutup sementara berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Pengarahnya, Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, pemeriksaan ke atas 44 hotel yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin mendapati dua hotel terbabit diarahkan tutup sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan selepas JKN melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan menjalankan pemantauan keselamatan makanan serta kebersihan premis di bawah Akta Makanan 1983, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).
“Sebanyak 46 kompaun kesalahan dikeluarkan dengan nilai kompaun RM18,750 hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan selama dua hari.
“Kami juga melaksanakan pemeriksaan kebersihan persekitaran premis dengan lapan hotel dikenal pasti ada tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Rusdi berkata, sebanyak 17 kompaun kesalahan dikeluarkan dengan nilai RM4,250 atas kesalahan kerana tidak memasang papan tanda larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“JKN sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna,” ujar beliau lagi.
Katanya, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau JKN terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my – SM