JenayahNasional

Dua ditahan kes pelajar wanita IPT cedera disamun

SEORANG pelajar institut pengajian tinggi (IPT) cedera akibat ditumbuk di muka, ditendang, disamun dan ditinggalkan di tepi jalan oleh rakan lelakinya di Jalan Kedai Mulong, Kota Bharu.

Gadis berusia 20-an itu yang bengkak dan lebam di muka serta hidung dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa dikatakan keluar bersama rakan lelakinya yang juga suspek pada pukul 10 malam kelmarin untuk makan malam di sekitar bandar itu.

Selepas makan katanya, suspek mengajak mangsa menemaninya berjumpa rakan di sebuah hotel.

“Semasa berada di hotel itu, suspek bersama rakan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan,” katanya.

Beliau berkata, akibat takut dan curiga dengan tindakan suspek, mangsa meminta suspek menghantarnya pulang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa. Susulan itu, suspek memberhentikan keretanya dan menumbuk serta menendang mangsa.

“Suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa sebelum meninggalkannya di tepi jalan. Akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian RM3,000,” ujar Rosdi.

Rosdi berkata, mangsa kemudiannya menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian itu sebelum dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 20-an, masing-masing anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu pada pukul 5.30 petang semalam selepas mereka menyerah diri.

Katanya, kes itu diselesaikan dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya dua suspek terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – SUMBER BH-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button