NegeriPolitik

Dua ADUN PH antara tiga angkat sumpah Pembantu Menteri di Sabah

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) antara tiga yang mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri dalam Jemaah Menteri Sabah di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Mereka terdiri daripada ADUN Lumadan, Ruslan Muharam mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS), ADUN Inanam, Peto Galim (PH) dan ADUN Likas Tan Lee Fat (PH).

Masing-masing mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Ruslan dilantik sebagai pembantu menteri kepada Ketua Menteri manakala Peto dan Lee Fat masing-masing dilantik sebagai pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan serta pembantu Menteri Kewangan negeri.Ads by

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selain pelantikan baharu itu, rombakan portfolio bagi jawatan pembantu menteri sedia ada turut dilakukan.

“Pelantikan hari ini dan rombakan pembantu menteri yang dilakukan adalah kesinambungan usaha ke arah mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Pelantikan pembantu menteri ini adalah untuk mengisi jawatan yang dikosongkan bekas pembantu menteri pertanian dan perikanan James Ratib yang sekarang menjadi menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

“Ia juga untuk mengisi jawatan dikosongkan Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan pembantu menteri kewangan untuk memberi laluan kepada yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, empat pembantu menteri sedia ada bertukar portfolio iaitu Ruddy Awah (pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar); Harun Durabi (pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Fairuz Renddan (pembantu Menteri Belia dan Sukan) dan Andi Suryady Bandy (pembantu menteri Pembangunan Perindustrian).

Ruddy dan Fairuz mewakili GRS manakala Harun dan Andi Suryady mewakili Barisan Nasional (BN).

Hajiji berkata, beliau menekankan kepentingan untuk kerajaan negeri pimpinannya berfungsi sebagai sebuah pasukan yang berkongsi aspirasi sama yang dibina atas dasar saling mempercayai dan menghormati.

“Kita memerlukan pasukan yang kukuh untuk melaksanakan pembangunan dan menunaikan janji pilihan raya kepada rakyat dan negeri,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button