Dua ADUN DAP, satu ADUN Amanah Perak keluar PH sokong Perikatan Nasional
TIDAK sampai beberapa jam empat Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu Perak mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan sehingga terbubarnya kerajaan negeri Perak bawah PH, tiga orang ADUN PH sebentar tadi mengumumkan mereka kini ADUN bebas dan menyokong Perikatan Nasional.
Dua daripada ADUN itu dari DAP iaitu ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam. Seorang lagi dari Amanah iaitu ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Ketiga-tiga mereka menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang akhbar sebentar tadi.
Choo Kiong berkata, keputusan itu diambil bagi menjaga hak rakyat sebagai wakil rakyat.
“Kita sudah fikir beberapa hari lalu kita buat satu ketetapan di mana kami bertiga mengambil keputusan keluar parti dan menjadi bebas supaya hak rakyat di kawasan kita dan seluruh perak dipelihara.
“Terbentuknya Perikatan Nasional tidak sempurna tanpa kehadiran wakil rakyat dari kaum Cina dan India,” katanya.-SM