Draf pindaan hukuman mabuk sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara
DRAF Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau secara berbahaya sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
Pindaan tersebut yang memberikan hukuman yang lebih berat dijangka dibentang pada Mesyuarat Kabinet, dua minggu lagi.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pindaan akta tersebut dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan.
“Kita akan menyaksikan peningkatan mendadak ketiga-tiga hukuman bagi Seksyen 41 hingga 45 Akta 333.
“Bagaimanapun, ia belum boleh didedahkan kepada umum, selain usaha ini merentasi kepentingan kaum, agama dan politik yang pasti mendapat sokongan.
“Saya juga ada menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakan pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap pindaan ini, selain mahu hukuman ditingkatkan,” katanya
BACA Pemandu mabuk: Kelulusan Kabinet terhadap pindaan Akta 333 bulan ini
BACA Pindaan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk dimuktamad Jun
Pindaan akta itu juga hasil kaji selidik daripada 345,021 responden yang dilakukanm melalui proses pungutan suara secara dalam talian yang dilakukan kementerian, baru-baru ini.
Menurut Ka Siong berkata, kerajaan sedia menurunkan had kandungan alkohol dibenarkan ketika memandu mengikut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Ketika ini kadar ditetapkan ialah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter (mm) nafas; 80 miligram (mg) alkohol dalam 100mm darah atau 107mg alkohol dalam 100mm air kencing, berbanding paras disaran WHO (0.05g/dl)
“Ada pihak mahu kandungan alkohol pemandu ditetapkan pada paras sifar. Namun, ia sukar kerana jika kita minum ubat batuk contohnya, akan ada bacaan alkohol dan ia akan diperhalusi,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mahu pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memberi hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurut beliau, pindaan hukuman tersebut juga diharap akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat kecuaian pemandu mabuk.
Muhyiddin berkata, sebagai bapa dan ketua kerajaan, beliau memahami memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa pemandu mabuk yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani isu tersebut.-SM