Nasional

Dr. Mahathir kongsi usul tidak percaya terhadap Muhyiddin

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyiarkan artikel yang sepatutnya menjadi usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di media sosial hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, beliau terpaksa menyiarkan usul tersebut dalam blognya untuk tatapan orang ramai selepas usul tersebut tidak dikemukakan dan dibahas di Dewan Rakyat dengan dua kali meletak usul tersebut di akhir sidang dewan.

Dalam usul tersebut, Dr. Mahathir sekali lagi mendakwa Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berpakat dengan PAS menyerang Pakatan Harapan kerana kononnya Kerajaan PH dikuasai oleh DAP yang akan hancurkan orang Melayu.

“Untuk elak dari kehancuran ini, sebuah Kerajaan Melayu Islam perlu ambil alih Kerajaan.

“Dakwaan bahawa DAP boleh hancur orang Melayu tidak masuk akal. Orang Melayu tidak mudah dihancur. Percubaan British merampas negeri-negeri Melayu melalui Malayan Union digagalkan oleh orang Melayu,” kata Dr. Mahathir.

Menurut Dr. Mahathir, jika DAP cuba menghancurkan orang Melayu, Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka.

Dr. Mahathir berkata, Muhyiddin tetap percaya bahawa DAP boleh menghancurkan orang Melayu.

“Caranya untuk elak kehancuran ialah dengan menjatuh Kerajaan Pakatan Harapan dan membentuk Kerajaan campuran dengan UMNO dan PAS.

“Saya tidak dapat terima cadangan ini kerana Najib dan UMNO yang telah merosakkan negara akan kembali jadi sebahagian daripada Kerajaan. Ini mengkhianati rakyat yang mengundi kita,” kata Dr. Mahathir.

Dalam usul berkenaan, Dr. Mahathir juga mendakwa pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tanpa Pilihan Raya Umum telah mencabul sistem dan aturan peraturan dalam Perlembagaan Negara.

Menurut Dr. Mahathir, cara tersebut akan menghilangkan kepercayaan rakyat bahawa melalui PRU rakyat dapat bentuk Kerajaan pilihan mereka.

“Yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi. Kerana melalui pintu belakang parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi Kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.

“Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendiri Kerajaan, dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan,” kata Dr. Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata,  sebab utama beliau mengemukakan usul tidak percaya kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana rebutan jawatan perdana menteri oleh Muhyiddin merampas hak rakyat.

“Seperti yang Tan Sri sendiri mengaku Kerajaan Tan Sri bukanlah Kerajaan pilihan rakyat. Ia adalah hasil dari penipuan terhadap rakyat yang bersusah payah datang dari jauh dan dekat untuk mengundi.

“Kita tidak perlu undang-undang untuk menghalang penipuan seperti ini. Kita harap orang politik di Malaysia mempunyai moral yang tinggi dan menolak rasuah dan penipuan. Jika tidak, maka akan hancurlah negara kerana akan diperintah oleh penyangak dan penyamun.

“Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadang Kerajaan Perikatan Nasional ini menyerah balik kuasa kepada yang hak,” tulis Dr. Mahathir dalam usulnya itu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button