Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan harapannya bahawa tahun 2020 iaitu ‘Tahun Kebudayaan dan Pelancongan’ antara Malaysia dan China akan mempertingkatkan hubungan dan persahabatan dengan signifikan antara kedua-dua negara tersebut.
Perdana Menteri menyatakan hubungan antara kedua-dua itu sudah berakar umbi sejak kurun ke-15 semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming dan telah berkembang sejak itu.
Malah, beliau berkata, Malaysia dan China adalah negara pertama di rantau ini untuk menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar kepercayaan dan rasa hormat.
“Pada 2018, Perdana Menteri, Li Keqiang dan saya sendiri berpendapat bahawa itu adalah masa yang baik untuk meraikan hubungan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan memberi tumpuan kepada pertukaran rakyat dengan rakyat menerusi kebudayaan dan pelancongan,” katanya dalam ucapannya semasa majlis perasmian Tahun Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia-China 2020, di sini, malam ini.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Dr Mahathir berkata seperti kebudayaan kedua-dua negara itu terikat, begitu juga ekonomi mereka.
”Sebagai rekod, pada 1971, perdagangan dua hala Malaysia-China bernilai US$159 juta (RM644.32 juta) dan jumlah itu meningkat hampir 700 kali ganda kepada US$108 bilion(RM437.65 bilion) pada 2018,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata program bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 itu menjadikannya ia lebih bermakna sambil berkongsi dengan hadiran mengenai aspek kehidupan masyarakat berbilang kaum yang membolehkan negara ini menyaksikan kewujudan pelbagai budaya.
“ Saya juga pasti tetamu kami dari China akan dapat mengaitkan dengan banyak amalan , makanan, adat dan budaya dan mungkin dapat mengesan asal usulnya di wilayah tertentu di China.
“ Sudah tentu, budaya lain dari India dan penduduk pribumi dari Sabah dan Sarawak mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kebudayaan di Semenanjung dan sebaliknya. Kami berbangga dengan kepelbagaian ini yang telah berhasil dalam membolehkan kita berkembang,” katanya.
Dr Mahathir juga mengambil peluang untuk mengucapkan banyak kemakmuran, kesihatan, kekayaan dan kebahagiaan yang kekal kepada kedua-dua rakyat negara itu yang menyambut Tahun Baharu Cina, minggu depan.
”Semoga Tahun Tikus Logam ini melambangkan penegasan semula persahabatan dan kerjasama antara Malaysia-China serta satu langkah permulaan ke hadapan.
Dalam pada itu, Li Keqiang, dalam ucapannya yang disampaikan oleh Naib Menteri Pelancongan dan Kebudayaan China, Zhang Xu, berharap program Tahun Kebudayaan dan Pelancongan itu akan menjadi platform untuk mengembangkan pertukaran budaya dan kerjasama dalam bidang pelancongan.
Selain itu, katanya, ia juga menggalakkan lebih banyak lawatan antara rakyat dan rakyat.
“Kami berharap dapat teruskan persahabatan tradisional ini berdasarkan peningkatan persefahaman dan meletakkan asas sosial yang kukuh bagi perkongsian strategik secara menyeluruh untuk China-Malaysia,” katanya.
— BERNAMA