Politik

Dr. M tidak pernah lawan pembangkang guna darurat – Mat Sabu

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu memuji Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana tidak pernah menggunakan Akta Darurat ketika berhadapan dengan pembangkang ketika menjadi perdana menteri.

Mohamad yang pernah dikenakan tahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata, Dr. Mahathir tidak pernah menggunakan Akta Darurat walaupun terdapat beberapa insiden yang dilihat menggugat keselamatan awam.

“Dalam perlawanan pembangkang dengan kerajaan BN yang memerintah termasuk NGO yang menentang dan mengkritik pemerintah, ada beberapa peristiwa besar yang berlaku, di antaranya Peristiwa Memali yang mengakibatkan terbunuhnya penduduk tempatan dan anggota polis.

“Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri juga berlaku ketegangan kaum yang dicetuskan oleh Pemuda UMNO dan MCA yang mengakibatkan Operasi Lalang di mana ratusan ditangkap di bawah ISA.

“Pada masa yang sama, berlaku amukan Prebet Adam di Chow Kit. Walaupun keadaan sedemikian berlaku, Dr Mahathir tetap tidak mengisytiharkan darurat,” kata Mohamad.

Mohamad menjadi ahli politik pembangkang ketika berada dalam Pas terhadap kerajaan Barisan Nasional dari tahun 1978 hingga 2015.

Menurutnya, Dr. Mahathir juga tidak menggunakan Akta Darurat ketika tercetusnya gerakan reformasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut Mohamad, siri-siri demonstrasi besar-besaran berlaku, termasuk yang dianggap boleh mengganggu Sukan Komanwel dan kedatangan Queen Elizabeth ke Kuala Lumpur sempena sukan itu.

“Perdana Menteri waktu itu tidak juga cuba mengisytiharkan darurat.

“Begitu juga ketika berlaku krisis matawang yang dilaporkan telah didalangi oleh George Soros mengakibatkan Ringgit Malaysia jatuh menjunam, tetapi Dr Mahathir tetap tidak mengisytiharkan darurat ekonomi pada waktu itu,” kata Mohamad.

Jelas beliau, sebagai pembangkang ketika itu dia tidak suka Dr Mahathir. Namun Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil langkah berlawan dengan pembangkang dengan tidak menyalahgunakan Akta Darurat.

Mohamad berkata Dr. Mahathir berbeza dengan Perdana Menteri sekarang,Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, walaupun tidak berlaku rusuhan atau demonstrasi besar-besaran Muhyiddin didakwa ingin menggunakan Akta Darurat untuk mengekalkan kuasanya.

“Kalau semata-mata untuk menghadapi Covid19, kerajaan boleh menggunakan undang-undang yang ada di negara ini termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan badan-badan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang boleh digerakkan semaksima yang mungkin untuk menghadapi segala bentuk bencana.

“Peristiharan darurat hanyalah untuk menyelamatkan kerajaan pintu belakang terutama untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata Mohamad.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button