Dr. M digesa henti gagalkan usaha PH dapatkan semula kerajaan
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa untuk menghentikan serangan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, serangan terbaharu Dr. Mahathir terhadap Anwar adalah tidak berasas.
Menurutnya, serangan Ahli Parlimen Langkawi itu terhadap Anwar adalah sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan mendapatkan semula kerajaan.
“Tun Dr. Mahathir perlu menghentikan tindakan-tindakan beliau yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecah-belahkan PH serta menggagalkan usaha tersebut.
“Tun Dr. Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.
“Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Dato’ Seri Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya,” kata Shamsul Iskandar dalam satu kenyataan.
Dr. Mahathir yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali dilaporkan berkata, Anwar tidak layak memegang jawatan sebagai perdana menteri.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini, Dr. Mahathir berkata Anwar tidak mampu mengemudi negara jika krisis kewangan berlaku seperti yang terjadi pada 1997. Ketika itu Anwar menjadi timbalan perdana menteri.
Shamsul Iskandar menyifatkan kenyataan Dr. Mahathir itu sebagai tindakan terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.
“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan agenda reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara.
“Tindakan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu.
“Oleh yang demikian, dalam usaha Datuk Seri Anwar dan pimpinan PH menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas,” kata Shamsul Iskandar.
The Malaysian Insight melaporkan Dr. Mahathir berkata, kebolehan Anwar sebagai perdana menteri telah diuji ketika beliau menjadi perdana menteri.
Malah Anwar telah dilantik memangku jawatan perdana menteri ketika beliau bercuti selama dua bulan antara Mei dan Julai 1997.
“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.
“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” katanya dalam wawancara itu.
Dalam wawancara itu, Mahathir mempersoalkan penilaian Anwar dalam menangani krisis kewangan Asia 1997 yang menurutnya mahu mengikut langkah yang disarankan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Saya pernah berkata kepadanya kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak akan ada dana yang cukup untuk membayar gaji, tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.
“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita,” katanya.