PolitikUncategorized

Dong Zong tolak permintaan Anwar, tetap teruskan kongres

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menolak permintaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk persatuan itu dan pertubuhan Melayu lainnya supaya tidak meneruskan dengan sidang anti atau projawi.

Dong Zong dalam satu kenyataan berkata, pihakhnya akan tetap meneruskan persidangan yang dirancang diadakan pada 28 Disember ini di Kolej New Era, Kajang.

“Kami alu-alukan kenyataan presiden PKR. Kami juga bersetuju dengan cadangannya agar semua pihak menyelesaikan perselisihan menerusi ruang dialog.

“Pendirian kami tetap sama. Kami sanggup menganjurkan dialog atau berkomunikasi dalam cara rasional dengan mana-mana pihak, sebelum atau selepas (penganjuran) kongres 28 Disember nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar menggesa semua pihak termasuk Dong Zong – sama ada yang menentang mahupun yang menyokong untuk tidak meneruskan penganjuran “sidang” berkaitan pengajaran tulisan Jawi.

Anwar bimbang tindakan berkenaan akan “menghangatkan suhu politik dan kaum” di negara ini.

“Bahasa Melayu dan kini bahasa kebangsaan mula ditulis dalam huruf Arab yang diubah suai kepada tulisan jawi. Ia perlu dilihat sebagai antara langkah menyemarakkan kesedaran lintas budaya.

“Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya, malah kita harus berbangga serta menghormati kepelbagaiannya.

“Maka sekali lagi, saya ingin menggesa rakan-rakan, khususnya Dong Zong dan pertubuhan Melayu lainnya supaya tidak meneruskan dengan sidang anti atau projawi,” kata Anwat dalam satu kenyataan semalam.

Khamis lalu, Gabungan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres yang dijangka diadakan pada 28 Disember ini bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres itu kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turun mengingatkan Dong Zong bahawa kongres tersebut akan mencetuskan huru-hara di Malaysia.

“Jika mereka mahu buat sesuatu yang sangat Cina, tindak balas orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ini ditutup.

“Kamu melakukan perkara seumpama itu dan kamu akan mendapat reaksinya,” kata Dr. Mahathir.

Dr Mahathir berkata, terserah kepada Dong Zong jika mereka mahu keadaan seumpama itu terjadi kepada negara.

“Jika kamu mahu Malaysia menjadi seperti itu, teruskan. (Jika keadaan itu berterusan) semua orang akan menjadi miskin dan kita akan melihat ramai rakyat berhijrah ke negara lain,” kata Dr. Mahathir.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button