Nasionalpilihan

DMDI tawar tapak pasar Ramadan di Dewan Tun Ali

Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menyediakan tapak pasar Ramadan dengan sewa RM20 sehari di kawasan lapang berhadapan Dewan Tun Ali, Rumah Melaka, Bukit Katil bermula 23 Mac ini.

Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, sebagai permulaan pihaknya menyediakan 25 daripada 50 tapak berniaga untuk golongan asnaf.

Menurutnya, golongan asnaf diberi pengecualian tidak perlu membayar wang deposit tapak sebanyak RM250.

“Pengecualian buat golongan asnaf adalah membolehkan mereka dapat menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Mereka hanya perlu bayar sewa tapak RM20 sehari dan lesen perniagaan akan ditanggung sepenuhnya DMDI,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Biro Ekonomi DMDI, Datin Seri Azreen Abu Noh.

Mengulas lanjut Mohd Ridhwan berkata, inisiatif itu juga membolehkan golongan asnaf menjual pelbagai juadah berbuka puasa atau keperluan lain mengikut bajet mereka.

“Kita benarkan mereka menjual apa sahaja juadah yang lazim dijual di pasar Ramadan, tapi kalau mereka ada barangan lain yang sesuai untuk diniagakan pun kita terima.

“Usaha DMDI ini bertujuan bagi memberi peluang kepada golongan asnaf dapat menjana pendapatan di bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Katanya, pasar Ramadan di tempat itu akan bermula pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam sepanjang Ramadan ini.

Beliau menamban, DMDI akan menganjurkan dua program besar iaitu Jualan Pra Ramadan Melaka Madani dan Jualan Pra Aidilfitri Melaka Madani pada 21 Mac dan 20 April ini bermula 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Menurutnya, melalui dua program ini DMDI akan mengagihkan 6,000 kupon diskaun bernilai RM30,000 atau RM5 setiap kupon kepada pengunjung untuk membeli ayam dan daging segar.

“Pengunjung juga boleh membeli pelbagai barangan keperluan lain seperti telur ayam, minyak masak, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan potongan antara 5 hingga 20 peratus,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button