Nasional

Disyaki jadi punca pencemaran air, kilang makanan diarah henti operasi

SEBUAH kilang makanan diarahkan berhenti operasi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana disyaki menjadi punca pencemaran minyak di Sungai Balah, Selangor.
Difahamkan, terdapat pelepasn air berwarna putih dari kilang tersebut melalui saluran paip bawah tanah yang menuju ke Sungai Balak.
Malah, siasatan JAS juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah yang mengalir ke Sungai Balak.
Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, pihaknya telah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) yang mana operasi pengeluaran kilang diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.
“Pihak kilang juga diarahkan untuk melakukan kerja-kerja penutupan saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai yang telah tercemar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Norlin, tiga sampel telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM), dengan keputusan analisis kimia dijangka diperolehi dalam masa terdekat.
Jelasnya, Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar juga dikeluarkan bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi.
“Kertas siasatan juga telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya.
Tambahnya, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Rabu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan laporan berhubung pencemaran air di alur sungai di di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button