Belang Bertempat

Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari

DISANGKA kerajaan Pakatan Harapan boleh memerintah lima tahun seperti mana kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih enam dekad berkuasa, rupa-rupanya mereka tersadung hanya dalam tempoh 22 bulan sejak 9 Mei 2018.

Ini sekali gus menafikan sejarah politik dunia – sesebuah kerajaan yang sudah jatuh ke tangan pembangkang agak sukar kembali menjadi pemerintah.

Melainkan pentadbiran baharu lebih teruk daripada kerajaan terdahulu. Dan ternyata begitulah hukum hakamnya – PH tumbang.

Tempoh 22 bulan PH memerintah merupakan masa terbaik pemimpin dan penyokong BN terutamanya UMNO bermusahabah diri bagi menilai semula kelemahan pentadbiran mereka terdahulu sehingga majoriti rakyat menolaknya dalam PRU- 14.

Ketika memerintah, ada pemimpin dan menteri kerajaan BN terdahulu terlalu sibuk dengan urusan pentadbiran negara sehingga tidak berkesempatan menilai kehendak sebenar rakyat yang sebelum ini menjadi penyokong tegar partinya termasuk pengundi luar bandar.

Sesetengahnya beranggapan calon BN seperti UMNO boleh menang dalam pilihan raya dengan meletakkan songkok sahaja bagi mewakilinya bertanding sebagai bukti betapa kuatnya pengaruh parti berkenaan ketika itu.

Tanggapan merasakan BN masih dan sentiasa kuat merupakan kesilapan besar dilakukan. Ia mungkin salah satu punca BN terlalu yakin parti itu terus diterima rakyat dalam pilihan raya seterusnya.

Namun begitu tanggapan mereka meleset dalam PRU-14 lalu sehingga parti berkenaan terlepas peluang memerintah semula negara ini seterusnya.

Mereka sebenarnya lupa kehendak rakyat yang semakin rencam dan sentiasa berubah mengikut keadaan tertentu terutamanya golongan pengundi muda berumur bawah 40 tahun yang kerap dahagakan satu pentadbiran dan dasar baharu kerajaan.

Golongan ini mewakili 40 peratus daripada keseluruhan jumlah pengudi berdaftar di negara ini yang perlu diberi perhatian kerana mereka terdedah dengan maklumat melalui media sosial seperti facebook, twitter, YouTube, instagram dan WhatsApp, sekali gus mampu mengubah landskap politik tanah air.

Kira-kira 80 peratus golongan pengundi muda ini terdedah dengan maklumat benar, separuh benar dan palsu yang boleh mengubah corak pengundian sesuatu pilihan raya di negara ini.

Mengikut sejarah, UMNO memulakan perjuangan fasa pertamanya dengan menuntut kemerdekaan negara dengan kerjasama pemimpin parti MCA dan MIC.

Melalui parti Perikatan yang disertai UMNO, MCA dan MIC, perjuangan pemimpin terbabit berjaya membebaskan negara ini daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957.

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj bersama timbalannya, Tun Abduk Razak Hussein mula menyusun pentadbiran sebaik mencapai kemerdekaan negara dengan menyediakan lebih banyak infrastruktur dan prasarana bagi kemudaan awam dan keselesaan rakyat.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak mengambil alih tampuk kepemimpinan negara daripada Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Kedua.

Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak giat membangunkan tanah pertanian dengan mewujudkan Felda bagi menempatkan golongan keluarga miskin yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit secara ladang berskala besar.

Beliau turut memperkenalkan pertanian secara moden dan menubuhkan lebih banyak sekolah, institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan pertanian serta ekonomi.

Usaha beliau membangunkan negara diteruskan Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memesatkan pembangunan negara.

Pada mulanya parti dukungan Melayu seperti UMNO hanya bersaing dengan parti Parti Islam Se Malaysia (Pas) dalam setiap kali pilihanraya berlangsung.

Bagaimanapun undi orang Melayu semakin berpecah apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Semangat 46 (S46) tetapi tidak berjaya menggugat kedudukan BN pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu dan pemimpin berkenaan termasuk Datuk Seri Dr. Rais Yatim membubarkan parti S46 serta mereka kembali ke pangkuan Umno.

Pemecatan Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 1998 menyebabkan perpaduan Melayu kembali goyah dan berpecah.

Menyorot kembali saat manis BN menguasai pentadbiran kerajaan sejak tahun 1957 hingga 2018, dapat disimpulkan bahawa kemenangan parti berkenaan dalam setiap pilihan raya selama 13 penggal berturut-turut adalah kerana faktor sokongan kuat semua kaum terutamanya pengundi Melayu, selain Cina dan India.

Adakah kejayaan berkenaan hanya merupakan kenangan manis yang akan tersimpan dalam lipatan sejarah tanah air yang bakal ditatap generasi akan datang di seluruh dunia terutamanya di Kepulauan Nusantara dan Malaysia sendiri?

Mampukah UMNO dan BN bangkit semula dalam PRU-15 dan menguasai semula kerusi yang sudah terlepas ke tangan PH dalam PRU-14 lalu, sekali gus memerintah negara ini buat kali kedua?

Jawapannya sudah tentu ada di dalam pemikiran pemimpin dan penyokong BN terutamanya UMNO, MCA serta MIC yang bertanggungjawab terhadap kaum masing-masing bagi menggalas tugas menyemarakkan perjuangan ahli parti masing-masing untuk bangun kembali menebus maruah politik mereka yang sudah tercalar di tanah air sendiri dalam PRU14.

Mereka harus bekerja kuat mulai sekarang hingga ke PRU-15 atau PRU mengejut (snap election) dengan memperkukuhkan strategi baharu.

Ia khususnya meletakkan pemimpin parti yang lebih berwibawa di barisan hadapan sesuai dengan arus kehidupan moden masa kini yang sering berubah mengikut persekitaran proses pembangunan negara.

Jauhilah sifat pemimpin yang syok sendiri dan bangga dengan kejayaan sedia ada sehingga terlupa dan tidak nampak sedikit pun kelemahan diri masing-masing.

Mereka hendaklah sentiasa pasang telinga supaya dapat mendengar dan memahami apa sebenarnya kehendak rakyat terkini yang perlu diberi perhatian serta diatasi.

Di samping memimpin, mereka juga harus sanggup dipimpin rakyat yang lebih pandai dan cerdik daripada mereka.

Jangan ikut cerita komedi Pak Kaduk yang bersorak kerana menang bersabung ayam sedangkan kampung sendiri tergadai berikutan kedangkalan dirinya sendiri.

Jauhilah sifat sombong yang menganggap diri lebih pandai daripada orang lain sedangkan mereka lupa Allah mengurniakan peluang memimpin untuk menjadi pandai sebagai seorang pemimpin unggul yang dihormati kawan dan lawan.

Bukan sekadar mendengar, sebaliknya ikutilah nasihat baik orang yang lebih pandai daripada kita agar hidup lebih terpimpin dan berjaya di dunia dan akhirat.

Insya-Allah, andai kata BN menang lagi dalam PRK DUN Slim dalam waktu terdekat ini, dengan keyakinan kombinasi undi diperoleh calon-calon BN-Pas pada PRU-14 menjadi 12,430 (8,327 diraih arwah dan Pas 4,103 menewaskan Bersatu yang memakai lambang PKR, 6,144) sewaktu arwah Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meraih majoriti 2,183, menjadikan kedudukan 7-0 (menang 7 PRK berturut-turut), ia petanda BN semakin utuh.

Cuma, para pemimpin dan penyokong UMNO bermuhasabahlah terhadap diri sendiri, apa malukah 3.5 juta orang Melayu menjadi ahli UMNO yang pernah berjasa kepada bangsa, agama dan negara?

Fikir-fikirkanlah sebelum terlambat dan nasi tidak lagi menjadi bubur.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button