Belang Bertempat

Di sebalik tirai besi: Najib ke IJN untuk rawatan perubatan terbaik

APABILA ‘orang besar’ atau ‘orang kenamaan’ menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan akan timbul macam-macam cerita ‘di sebalik tirai besi’.

Ada yang mengatakan kononnya sel penjara yang diduduki oleh ‘orang kenamaan’ berbeza dengan sel-sel banduan lain namun tidak nampak pula ada sel special seumpama itu seperti yang dibualkan dari mulut ke mulut.

Penulis sendiri pernah, atas dasar tugasan, menginap di dalam sel penjara di Ayer Molek, Johor Bahru, Johor sekitar tahun 2006.

Pada tahun tersebut, tugasan yang diberi kepada wartawan dan pengamal media adalah untuk ‘merasai’ kehidupan sehari sebagai seorang banduan sebelum Penjara di Ayer Molek itu ditutup sepenuhnya dan dimansuhkan bangunan penjara yang berusia 100 tahun.

Kesempatan yang diberi kepada penulis ketika itu membuatkan penulis bertanya kepada warden penjara, apakah ada sel istimewa untuk banduan ‘orang kenamaan’ berdasarkan imaginasi penulis.

Jawapannya, “tidak ada. Sama sahaja rupa sel dalam mana-mana penjara. Tidak ada yang istimewa.”

Kemudian, penulis berkesempatan membuat rakaman program Busking Bersama Buskers yang pada ketika itu, penulis merupakan hos/pengacara/wartawan berpangkat Penolong Pengarang Berita di Utusan Online milik Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad.

Lokasi penjara di Bentong, Pahang dan meninjau secara rawak sel-sel penjara, tiada pula yang kelihatan istimewa atau lain daripada yang lain.

Pendek kata, sel dalam penjara sama sahaja untuk banduan.

Kurang lebih 22 hari bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara seperti diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas rayuan beliau ditolak atas pertuduhan membabitkan rasuah SRC International, timbul isu ubat yang diberi atau dipreskripsi oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak sama.

Bukan itu sahaja, apabila adanya Najib dalam penjara, rawatan perubatan terbaik perlu diberikan kepada Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu.

Ini sekaligus memberi satu kelebihan kepada banduan-banduan lain yang berada “di sebalik tirai besi” yang mana mereka juga perlu diberikan “rawatan perubatan terbaik” yang sama taraf dengan Najib Razak.

Kalau Najib tidak masuk penjara, tidak mungkin isu ubat dan topic “rawatan perubatan terbaik” dibangkitkan oleh orang lama parti DAP, Lim Kit Siang.

Rasanya sebelum ini pun kerajaan dan hospital kerajaan memberi “rawatan perubatan terbaik” dan ubat-ubat yang sama kepada golongan banduan yang sakit.

Cuma banduan-banduan biasa ini tidak dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan “darah turun naik” yang doktor tidak tahu apakah puncanya.

Minggu lepas, Najib dimasukkan ke HKL kerana ulser perut dan pihak HKL discaj Najib selepas melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas beliau dan berpuas hati hati dengan status kesihatan Najib.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Apa perlu keluarga Najib, anaknya, Nooryana Najwa merayu kepada kerajaan agar memberikan rawatan perubatan terbaik kepada Najib kerana dari segi ubat-ubatan, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bekas perdana menteri itu menerima ubat yang sama yang dipreskripsi oleh doktor.

Jumaat lalu, kata KP Kesihatan, Najib dimasukkan ke HKL adalah kes elektif, bukan kecemasan dan Hisham juga menekankan jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Cuma bezanya kalau tidur dalam sel penjara dengan tidur atas katil hospital, lebih empuk tilam di katil hospital.

Persekitarannya juga berbeza kalau tidur ‘di sebalik tirai besi’ dengan tidur di atas katil hospital yang tirainya kain dan kalau bernasib baik, dapat katil di tepi tingkap dengan kipas atas kepala!

Untuk rekod, Najib dipenjarakan sejak 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Keluarga Najib merayu kerajaan membenarkan beliau diberikan rawatan perubatan sewajarnya selepas beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jumaat lalu.

Pegawai khas Najib, Mukhlis Maghribi berkata, Najib menjalani ujian kolonoskopi pada Sabtu lalu dan doktor menemui ulser dalam perutnya.

“Najib memohon untuk pemerhatian di HKL tetapi permintaanya dinafikan dengan doktor membenarkannya keluar (discaj), menukar ubat-ubatannya daripada ubat biasa yang diambilnya selama bertahun-tahun dan menghantarnya pulang ke Penjara Kajang,” kata Mukhlis.

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, panel pakar di hospital itu (HKL) membincangkan kes Najib dengan keluarganya dan mereka bersetuju membenarkannya keluar hospital.

“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian mengarahkan Kementerian Kesihatan memberikan rawatan perubatan terbaik kepada Najib. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button