Dewan kecoh berhubung Menu Rahmah
KEKECOHAN tercetus hari ini di Dewan Rakyat berhubung inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan baru-baru ini.
Ini selepas Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menafikan beliau mengeluarkan kenyataan mengaitkan tawaran Menu Rahmah sebagai punca kanser.
Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) telah mencelah Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai), yang sedang membahaskan titah titah diraja, dengan berkata kenyataan Dr Halimah mengenai makanan kos rendah itu boleh menyebabkan kanser dan autisme, sebagai tidak benar.
Dr Halimah kemudian menjawab; “Saya perlu betulkan ini. Apa yang Hulu Langat katakan itu tidak betul. Saya tidak kata Menu Rahmah menyebabkan kanser.
“Sila dengar dengan teliti dan semak,” katanya.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) kemudian mencelah dengan mengatakan bahawa Sany tidak memahami kenyataan Dr Halimah dan harus kembali ke “sekolah”.
Terdahulu dalam ucapannya, Azman berkata inisiatif yang dilancarkan awal bulan ini tidak membantu rakyat secara keseluruhannya.
Beliau juga berkata ia hanya membantu mereka yang bekerja, dengan hanya beberapa restoran yang bersedia menawarkan Menu Rahmah.
“Mungkin Mydin atau Burger King mampu menyertai inisiatif itu, tetapi bagaimana dengan pengusaha makanan kecil-kecilan yang beroperasi di tepi jalan?
“Selain itu, bagaimana pula dengan keluarga yang mempunyai empat hingga lima anak? Mereka perlu membayar antara RM60 dan 80 setiap hari, untuk dua kali makan setiap hari.
“Kerajaan sebaliknya perlu fokus mengawal harga barang keperluan,” katanya.-SM