Rencah Hidup

Derita 4 tahun berakhir, pekerja asing kembali ke pangkuan keluarga

PERKESO tanggung penerbangan evakuasi perubatan

DERITA seorang pekerja asing yang cedera parah dan terkandas di Malaysia lebih empat tahun, berakhir selepas kembali disatukan dengan keluarga di Myanmar.

Aung Ko Thin, 32, yang sebelum ini berkelana ke Malaysia untuk berkhidmat dalam sektor pembinaan, dilaporkan terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika bekerja, pada 2 Mei 2020.

Rentetan bencana kerja itu, beliau mengalami kecederaan serius dan sekadar mampu terlantar apabila impak kemalangan berkenaan didapati merencatkan koordinasi keseluruhan anggota badan, sekali gus menyukarkannya untuk menjalani kehidupan seharian.

Wakil PERKESO sedang berdiskusi bersama pihak perubatan Myanmar berkenaan keadaan pekerja warga Myanmar yang dibawa pulang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata semakan rekod menunjukkan pemuda berusia 32 tahun itu dilindungi menerusi caruman Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Sehubungan itu, katanya, PERKESO meluluskan bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal dan Elaun Layanan Sentiasa, selain alat pemulihan serta bekalan makanan tambahan (supplement) untuk kegunaan selama sebulan.

“PERKESO juga menguruskan evakuasi perubatan (MEDEVAC) supaya Aung Ko Thin dapat pulang ke Myanmar bagi menjalani rawatan susulan.

Pekerja asing warga Myanmar dibawa menaiki ambulans selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabanga Yangon,Myanmar menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

“Kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO dan usaha ini turut mendapat kerjasama Kedutaan Myanmar di Malaysia serta Lembaga Keselamatan Sosial (SSB) Myanmar.

“Alhamdulillah, beliau selamat tiba di Yangon, Myanmar kelmarin dan kembali disatukan dengan keluarga yang sudah empat tahun tidak bersua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penerbangan MEDEVAC susulan kes bencana kerja membabitkan buruh asing ini adalah pertama kali dilaksanakan, selari penerapan konsep prihatin yang menjadi teras perkhidmatan PERKESO.

Keadaan Aung Ko Thin semasa dalam perjalanan ke Yangon, Myanmar.

Sementara itu, Dr. Mohammed Azman turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk majikan pencarum, Hong Poh Engineering Construction Sdn Bhd, yang menggalas tanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja mereka.

“Ini adalah contoh terbaik dan wajar dijadikan ikutan dalam kalangan majikan, malah PERKESO menaruh kepercayaan kebajikan hal ehwal pekerja berupaya menjadi motivasi ke arah peningkatan produktiviti,” katanya. – SM

Artikel berkaitan > 1,700 pekerja sektor GIG ekonomi belum carum PERKESO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button