Denda RM10,000 langgar SOP: Kerajaan tidak peka kesusahan rakyat – Anwar
Keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar denda dari RM1,000 ke RM10,000 kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menonjolkan sikap yang tidak peka terhadap kesusahan rakyat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar denda itu merupakan satu langkah yang sangat tidak wajar pada ketika ini berikutan ramai rakyat yang dibuang kerja.
Kompaun yang tinggi itu juga tidak wajar sekiranya dikenakan kepada mereka yang mungkin secara tidak sengaja melanggarnya dan kekeliruan berkait perkara tersebut.
“Kerajaan harus lebih peka dengan nasib dan kepayahan yang ditanggung rakyat saat ini. Ramai yang telah kehilangan pekerajaan dan hilang punca pendapatan.
“Kadar denda yang tidak munasabah itu menyerlahkan kecenderungan yang autokratik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak merampas kuasa tahun lalu melalui rencana yang jelek dan hina,” kata Anwar,
Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoalkan sama ada kerajaan terfikir sama ada rakyat mampu atau tidak untuk membayar denda berjumlah RM10,000 tersebut.
Jelas beliau, tidak wajar untuk rakyat yang miskin dipenjarakan semata-mata kerana gagal untuk membayar denda yang tinggi itu.
“Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000 sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu?
“Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda? Negara jenis apakah yang mahu kita bangunkan ini?” tanya beliau.
Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berulang bermula 10 Mac lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sebenar kompaun dikenakan itu tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) jika pesalah membuat rayuan.
Abdul Hamid berkata keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukanlah untuk menghukum orang ramai secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai sebaliknya untuk individu yang mengulangi kesalahan SOP PKP sama.
Antara kesalahan SOP PKP adalah seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau premis tidak menyediakan alat pengukur suhu.
Media melaporkan, seorang individu dikenakan kompaun RM10,000 selepas melakukan kesalahan tidak mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera ketika berada di sebuah kedai makan di Bukit Jalil.-SM