pilihanPolitik

Demi agenda parti, DAP disebatikan calon Melayu dalam kawasan majoriti Melayu

JOHOR BAHRU: DAP akan menampilkan dua calon Melayu untuk bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, ketika mengumumkan langkah itu, berkata ia membabitkan kerusi Parlimen Mersing dan Ayer Hitam.

“Bagi Parlimen Mersing, DAP tampilkan muka baharu iaitu Fatin Zulaikha Zaidi, 29, yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.

“Fatin adalah calon wanita Melayu ketiga ditampilkan DAP bertanding pada PRU15 selepas Young Syefura Othman (Bentong) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

“Syabas atas keberanian Fatin untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO,” katanya ketika mengumumkan calon DAP bertanding di Johor, malam ini.

DAP menampilkan tujuh calon bertanding di Johor pada PRU15 kali ini, membabitkan empat lelaki dan tiga wanita.

Seorang lagi calon Melayu adalah Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang juga bekas ADUN Paloh dan bekas EXCO Johor, akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam, yang diumumkan Khamis lalu.

Selain Sheikh Umar, dua lagi calon yang diumumkan minggu lalu adalah bekas ADUN Skudai yang akan bertanding di Parlimen Bakri, manakala penyandang Parlimen Labis, Pang Hok Liong, diumumkan mempertahankan kerusi itu.

Dalam pada itu, Loke turut mengumumkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan dan penyandang kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15 nanti.

Turut bertanding mempertahankan kerusi, ialah Wong Shu Qi bagi kerusi Parlimen Kluang.

Selain itu, Pengerusi DAP Johor dan juga ADUN Perling, Liew Chin Tong, pula bertukar ke kerusi Parlimen Iskandar Puteri kali ini.

Pada PRU14 Chin Tong tewas tipis kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti 303 undi di Parlimen Ayer Hitam.

Dalam pada itu, Loke turut menyampaikan penghargaannya terhadap sumbangan bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang,81, terhadap parti itu selama lebih 50 tahun.

“Kit Siang adalah ahli politik istimewa di Malaysia kerana menjadi Ahli Parlimen sebanyak 11 kali dan hanya tewas sekali pada 1999 sahaja.

“Beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang pernah bertanding di lima negeri dalam iaitu di Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor, yang juga negeri asalnya,” katanya.

Calon DAP di Johor:

1. Liew Chin Tong – Iskandar Puteri

2. Fatin Zulaikha Zaidi -Mersing

3. Wong Shu Qi – Kluang

4. Teo Ni Ching – Kulai

5. Tan Hong Ping – Bakri

6. Pang Hok Liong – Labis

7. Sheikh Umar Bagharib Ali – Ayer Hitam

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button