NasionalNegeri

Peserta SKAW dirai di Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis

PESERTA Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/2022 begitu teruja dengan sambutan dan layanan istimewa penduduk kampung serta urusetia Kayuhan Khas SKAW di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini, semalam.

SKAW 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Perlis bermula 27 sehingga 30 Oktober ini melibatkan Komander-Komander Askar Wataniah Siri 500 dari seluruh negara dengan pelbagai aktiviti termasuklah program kayuhan santai di Kampung Seberang Ramai yang menjadi acara penutup kepada SKAW kali ini.

Program dimulakan dengan majlis perasmian serentak rumah negeri-negeri oleh setiap Komander Rejimen Askar Wataniah Siri 500 diikuti majlis perasmian Laman Kanak-Kanak SKAW serta acara ‘Explorace’ berbasikal di sekitar kawasan kampung berkenaan.

Pelbagai aktiviti yang perlu diselesaikan oleh para peserta termasuklah membuat dekorasi laksa Kuala Perlis, demo tarian canggung, mengarang pantun, mengail ketam, membuat kuih tradisional, bermain woodball dan sebagainya.

Para peserta juga perlu membuat video berdurasi dua minit bagi mempromosikan keunikan kampung Warna-Warni ini dan dimuat naik ke laman sosial masing-masing menggunakan tanda pagar #skawmaips.

Setiap kumpulan peserta turut juga membuat sendiri hamper menggunakan produk-produk makanan tradisional Perlis yang diusahakan oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada rumah-rumah kebajikan di sekitar Perlis.

Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis ini merupakan cetusan ilham Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah beserta anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang kini kian dikenali di kalangan pelancong tempatan dan juga antarabangsa.

Projek yang dimulakan sejak dua tahun lalu apabila bermulanya wabak Covid -19 ini berjaya mengubah wajah lama kampung nelayan ini kepada sebuah kampung yang lebih ceria, bersih dan berkonsepkan warna-warni.

Turut berangkat ke program kayuhan ini ialah anakanda-anakanda kepada Tuanku Raja Muda Perlis iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah dan juga Sharifah Farah Adriana Jamalullail, diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Lt Kol, Lasahi Laiji.

Turut berangkat bagi menyempurnakan simbolik merasmikan rumah berwarna bendera kebanggaan negeri masing-masing itu ialah Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah merangkap Komander Rejimen 512 AW dan Tengku Panglima Raja Pahang Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Komander Rejimen 505 AW.

Sidang Komander Askar Wataniah ini dijangka akan dilaksanakan semula di Perlis pada tahun 2026 setelah tiba gilirannya dan akan diteruskan lagi dengan Rejimen Askar Wataniah di Johor pada tahun hadapan. – SM

(Visited 396 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button