Kecek

Deklarasi Hari Hak Asasi Sedunia : “Propa” kuasa besar…

HARI Hak Asasi Sedunia adalah hari untuk diri sendiri, hari di mana hak seseorang diiktiraf mempunyai kesamarataan, kebebasan, jaminan keselamatan, dilindungi dan macam-macam lagi.

Tidak seperti Hari Valentine yang tidak pernah dideklarasi secara bertulis untuk memperingati kekasih, Hari Hak Asasi Sedunia telah dimasyhurkan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948, atas nama Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Ia tertera di bawah piagam badan dunia itu bahawa setiap insan di alam ini perlu dilayan sebagai manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama, jantina, bahasa, politik, asal keturunan dan macam-macam.

Jangan tidak tahu, deklarasi berkenaan telah didokumen ke dalam 500 bahasa yang dipetuturkan umat manusia!

Namun, pada tahun yang sama, kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Rusia dan China telah memainkan wayang dengan membiarkan satu persatu hak itu dicabuli.

Beberapa bulan sebelumnya, iaitu pada 14 Mei 1948, ketua Zionis David Ben-Gurion mengumumkan penubuhan negara “Israel” kepada Presiden Amerika Syarikat, Harry S.Truman dan ia diiktiraf pada hari yang sama.

Sejak saat itu, satu persatu hak pribumi bangsa Arab Palestin yang mendiami kawasan berkenaan dirampas dan sehingga ke hari ini, Amerika Syarikat masih melindungi kepentingan Yahudi.

Bahkan, saiz negara Israel semakin luas dengan peningkatan populasi berkali ganda selepas jutaan Yahudi di serata dunia “dipanggil pulang” ke tanah yang dijanjikan.

Apa yang berlaku di Palestin adalah penanda aras betapa PBB tidak pernah telus dengan apa yang diisytiharkan.

Bak kata generasi sekarang, semuanya “propa” kuasa Besar.

Ketika deklarasi ini dibuat, British juga lepas tangan selepas membahagi dua benua kecil Asia Selatan, antara India dan Pakistan.

Perang Indo-Pakistan Pertama atau Perang Kashmir yang bermula pada 1947 hingga 1949 menyaksikan hak rakyat wilayah itu dinafikan untuk menentukan masa depan mereka.

Kashmir satu wilayah yang diperintah raja Hindu dan penduduknya majoriti orang Islam telah terbahagi dua.

Selepas lebih 72 tahun, rakyatnya masih ditindas dan sejak setahun lalu, India bertindak dengan lebih zalim dengan memutuskan hubungan penduduk wilayah itu dengan dunia luar.

Sebagai strategi “mengindiakan” Kashmir, New Delhi juga membawa masuk beramai-ramai penduduk dari wilayah lain.

Begitu juga dengan China.

Rejim Komunis dibawah Moa Tze Tung bertindak menceroboh Tibet pada 6 Oktober 1950 yang menyaksikan lebih 1.6 juta penduduknya dibunuh dan lebih 6,000 biara Budha dimusnah.

Sehingga ke saat ini, pembunuhan ke atas mereka yang bukan etnik Han berterusan dan mungkin jika dikumpul, ia berkali ganda melebih penduduk Malaysia!.

Lihat apa yang berlaku di Xinjiang, nasib yang menimpa etnik Uighur dan minoriti yang lain.

Sama juga dengan Perancis, negara yang dikenali dengan segala bentuk “kebebasan” menjadikan Deklarasi Hari Hak Asasi Sedunia sebagai topeng atas kezaliman yang dilakukan ke atas penduduk di Afrika Utara.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Algerian League for the Defense of Human Rights mendakwa sepanjang penjajahan ke atas negara itu, 10 juta nyawa telah dibunuh.

Angka itu tidak mustahil kerana dalam perang menuntut kemerdekaan, antara 1954-62, Paris mengesahkan 1.5 juta rakyat Algeria telah mereka bunuh termasuk, 345 orang yang ditembak mati secara beramai-ramai ketika mengadakan tunjuk perasaan di Paris.

Apapun, dua lagi kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Rusia mungkin saling bersaing untuk menduduk negara teratas sebagai “pencabul” teratas hak asasi manusia.

Atas kedudukan mereka sebagai negara yang mempunyai kuasa Veto, ia menjadikan negara lain sebagai medan pertembungan kepentingan dan idealogi.

Perang Korea, Perang Vietnam, Perang Iran-Iraq, Perang Afghanistan dan macam-macam krisis yang berlaku dari dulu sampai sekarang termasuk konflik di Asia Barat adalah hasil permainan Washington dan Moscow.

Hakikatnya, UDHR yang tertera di bawah Piagam PBB dideklarasi hanya untuk dibaca bukan untuk dilaksana. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button