Sukan

Celine, pemain remaja wanita negara cipta nama di Bayern

PEMAIN sayap skuad B-15 wanita kebangsaan, Celine Chuang mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi bersama salah sebuah kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Celine yang baru berusia 15 tahun beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita Bayern Munich sejak Julai lalu dan tidak menjadikan jantinanya sebagai batu penghalang untuk beraksi di atas padang, sekali gus membuktikan bahawa wanita juga mampu bersaing dalam sukan yang kebiasaannya didominasi oleh lelaki.

Pemain itu mula meminati sukan bola sepak selepas menyaksikan sendiri kakak dan abangnya beraksi di atas padang.

“Saya memulakan latihan secara serius di dalam sukan ini lebih kurang empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun bersama Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang.

“Teknik baharu yang saya boleh pelajari merupakan salah satu faktor saya jatuh hati terhadap sukan ini, selain membantu mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan tekanan,” kata Celine.

Berbekalkan keinginan yang tinggi untuk meningkatkan lagi prestasinya, Celine membuat keputusan berhijrah ke negara jiran bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket, Thailand selama dua tahun.

“Ketika mengikuti latihan di Malaysia, saya banyak mempelajari tentang asas bola sepak. Namun, di Thailand pula, latihannya lebih sengit dan mendalam kerana saya berlatih setiap minggu di bawah metodologi Cruzeiro,” jelasnya.

Kehidupan Celine berubah apabila keluarganya membuat keputusan untuk berhijrah ke Jerman, bagi mengikuti jejak abangnya untuk mendapatkan pendidikan di Munich.

Berkongsi cita-cita yang sama seperti abangnya, Celine juga mempunyai keinginan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Jerman, selain mengimpikan masa depan yang cerah.

Bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab Bavaria itu, Februari lalu.

“Segala usaha saya selama ini ternyata berbaloi apabila saya diumumkan antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 Bayern Munich.

“Saya juga sangat bersyukur apabila telah diberi peluang untuk beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker München e.V,” ujar Celine.

Dengan pengalamannya berlatih bersama skuad lelaki B-13 dan B-15 di Thailand, Celine sudah biasa bermain di samping rakan sepasukan.

“Beraksi dan berlatih bersama FC Wacker Munchen e.V banyak mengajar saya untuk memperbaiki teknik, selain mendidik saya untuk jadi lebih berkeyakinan,” tambahnya.

Berkongsi pula pengalamannya sepanjang empat bulan berlatih di Jerman, Celine memberitahu bahawa pada awalnya, dia mengambil masa untuk membiasakan diri berlatih dalam cuaca sejuk, selain perbezaan bahasa juga menjadi salah satu cabaran yang perlu dilaluinya.

“Walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran, komuniti di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan kami di sini (Jerman). Saya telah berupaya untuk menyesuaikan diri selepas menetap sejak Jun lalu.

“Bagaimanapun, kami kini hanya menjalani latihan secara online selepas pertandingan dan liga di sini telah dibatalkan serta ditangguhkan kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Nama Celine kini mula mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman, susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama skuad kedua B-17 wanita Bayern Munich.

Bersama skuad B-15 wanita negara pula, Celine juga ada menyumbang satu gol sewaktu beraksi pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Cambodia 2-1 di Chonburi, Thailand. – SM

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button