Datuk Hattan kongsi kisah paling sedih dalam perjalanan hidup 35 tahun
MOHD. SHUKRI SHAHABUDIN atau lebih dikenali sebagai Hattan mendambakan dirinya sebagai anak seni tanah air selama lebih tiga dekad.
Sepanjang tempoh tersebut, anak nogori ini mengalami turun naik dalam kehidupan dan kairer seninya.
Kini bergelar Datuk, Hattan hadir sebagai tetamu dalam segmen bual secara langsung, Jom Chat Dengan Apak di studio mini SUARA MERDEKA hari ini.
Selama setengah jam, banyak cerita yang dikongsi oleh Hattan dan apabila bercakap tentang saat kehidupannya berada pada dasar paling dalam, secara terus terang, saat perceraian adalah keadaan paling bawah dalam kehidupannya.
Bagaimanapun, Hattan mampu bangkit semula dalam kehidupan kerana semangat ditiup anak tunggalnya, Adam.
Selebihnya, perjalanan hidup Hattan disulami dengan kemanisan dan beliau bakal mengadakan konsert berskala besar, Hattan 35 Years Journey.
Konsert Hattan 35 Years Journey dibawa oleh Mewah Event Management bakal diadakan selama dua malam berturut-turut, 4 Jun dan 5 Jun di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 8 malam.
Persembahan selama dua jam nanti, kata Hattan, beliau akan diiringi oleh barisan pemuzik professional dengan Rozario bertindak sebagai Pengarah Muzik.
“Barisan pemuzik adalah orang lama dalam industri yang juga rakan-rakan saya seperti Nan (gitar), Ujang (dram), Pa’ang (percussion), Ritz (gitar), Fly (bass) dan Firdaus (keyboard),” kata Hattan dalam Jom Chat Dengan Apak.
Mempunyai ratusan lagu hits, kata Hattan, beliau akan mempersembahkan kira-kira 28 lagu antaranya Rendak Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Biso Bonar, Gadis Jolobu dan banyak lagi.
Beliau juga akan mendendangkan beberapa lagu yang dituju khas kepada sifunya, Datuk M. Nasir pada malam persembahan.
Bersama anaknya, Adam, Hattan akan berduet selain persembahan nyanyian secara solo oleh Adam sendiri.
“Cuma yang tak naik pentas ialah Ariana (Datin). Beliau akan duduk bawah menyaksikan persembahan bersama Apak dan penonton lain,” kata Hattan dalam nada berseloroh.
Kata Hattan, perancangan Konsert Hattan 35 Years Journey bukan dirancang sehari dua sebaliknya, perancangan dibuat selama dua tahun bersama pihak Mewah Event.
Bagaimanapun, pelaksanaan konsert tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hari ini, syukur pada Tuhan kerana konsert ini dapat dilaksanakan pada dua tarikh tersebut setelah dua tahun kita merancang,” ujar Hattan.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Hattan 35 Years Journey pada 5 Jun nanti telah habis dijual dan tiket pada 4 Jun sahaja yang masih ada.
Para peminat Hattan yang mahu menyaksikan julung kalinya penyanyi ini mengadakan konsert solo berskala besar, boleh mendapatkan tiket di http://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey.
Harga tiket ialah RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum).
Untuk rekod, sepanjang karier seninya, Hattan telah menghasilkan 11 album iaitu Nostalgia (1987), Hattan (1991), Ana Permata Timur (1993), Mentor (1994), Satu Malaya Dah Tahu (1996).
Album Biso Bonar diterbitkan pada tahun 1998, diikuti dengan Aku dan Mentor (2000), Palestin Jangan Menangis (2002), Masterpiece (2007) dan Inderawala (2010).
Pada tahun 1988, Hattan pernah menganggotai kumpulan FRU (Five Rockers Union) dan sempat menghasilkan sebuah album berjudul Kelahiran.
Hattan juga pernah menjadi vokalis kumpulan Pratayuda menerusi album berjudul War Rock 1 yang diterbitkan sekitar tahun 1987.
Insya-Allah, kalau ada rezeki, selepas ini, habis konsert, Hattan mungkin akan melahirkan sebuah album kerana sebagai penyanyi, beliau akui, profile seseorang penyanyi berdasarkan kepada penghasilan album debut bukan single. – SM