Nasional

PERDIM menghubungkan penyedia penjagaan kesihatan dan pesakit melalui platform digital

PLATFORM kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall), telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Pertubuhan Doktor–Doktor Islam Malaysia (PERDIM), sebuah organisasi yang menguruskan pengamal am dalam penyediaan penjagaan kesihatan primer di negara ini.

Kerjasama tersebut bertujuan menyediakan akses kepada ahli-ahli PERDIM untuk menyenaraikan perkhidmatan mereka pada platform DoctorOnCall, menghubungkan mereka dengan bakal pesakit dengan lancar dan seterusnya merapatkan jurang antara penyedia penjagaan kesihatan serta pesakit.

DoctorOnCall merupakan platform digital terjamin yang menawarkan pangkalan data dalam talian bagi produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan menggabungkan maklumat dan tawaran daripada pelbagai penyedia penjagaan kesihatan dan pakar perubatan di seluruh Malaysia.

Pangkalan data dalam talian tersebut juga akan membantu pesakit mencari dan mengenal pasti doktor yang sah dan mempunyai reputasi baik, di samping mendapatkan jenis rawatan dan produk yang sesuai dengan rawatan penyakit dihadapi mereka.

Melalui kerjasama ini, ahli PERDIM akan dapat memuat naik dan menyenaraikan rawatan dan perkhidmatan mereka di platform disediakan DoctorOnCall untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan teleperubatan dan kesihatan digital yang lebih luas.

Melalui platform yang menawarkan interaksi dan hubungan antara pembekal penjagaan kesihatan dan pesakit ini, ahli PERDIM akan dapat menawarkan perkhidmatan berkaitan kesihatan jarak jauh seperti telekonsultasi dan pemantauan di rumah, selain daripada membolehkan pesakit membuat tempahan untuk temu janji mereka di klinik.

Pesakit juga akan dapat menerima rawatan dengan segera dan tepat pada masanya dengan kos efektif kerana mereka tidak lagi perlu pergi ke klinik dan terpaksa menunggu berjam-jam. Ia juga mengelakkan berlaku kesesakan di pusat kesihatan yang boleh memudaratkan mereka yang lemah imun, kurang upaya atau mempunyai penyakit tidak boleh berada dalam kesesakan.

Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata: “Sebagai sebahagian daripada misi kami untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses, DoctorOnCall komited untuk membentuk rangkaian penyedia penjagaan kesihatan di seluruh negara untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang unggul.

“Dengan memahami kekurangan yang dihadapi dalam ekosistem penjagaan kesihatan negara, kami dapat menyediakan platform penjagaan kesihatan sehenti yang memberikan rangkaian perkhidmatan bersepadu secara sinergi kepada doktor-doktor PERDIM. Dengan itu, mereka dapat mencipta kemudahan, responsif dan kepercayaan pesakit dengan menyediakan produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik yang yang boleh diakses di hujung jari.”

“Kerjasama kami dengan PERDIM akan mengukuhkan lagi rangkaian pelbagai tahap penjagaan kesihatan yang berkualiti. Perkongsian ini juga akan memperkasakan pesakit dengan pilihan yang lebih luas dan akses nilai tambah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan elit yang diiktiraf oleh PERDIM.

“Penyenaraian perkhidmatan mereka di DoctorOnCall juga akan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan PERDIM menawarkan lebih banyak perkhidmatan tertumpu pesakit dan seterusnya mengutamakan keperluan mereka,” tambah Hazwan.

Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, melalui platform dalam talian ini, pengamal perubatan PERDIM akan dapat memberikan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan mereka kepada lebih ramai pesakit, berbanding sebelum ini.

“Kerjasama ini akan membantu pengamal perubatan membuka peluang baharu dalam menyediakan penjagaan kesihatan. Ia adalah peluang menarik yang akan memperkasakan kami untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang dipertingkatkan untuk kekal berdaya saing dalam era digital sekarang ini.

“Matlamat kami bukanlah untuk menghapuskan perundingan fizikal sepenuhnya, sebaliknya kami mahu melengkapkan perundingan fizikal dengan perkhidmatan penjagaan maya untuk meningkatkan kualiti penglibatan pengamal perubatan-pesakit.”

Dr Boi berkata: “Sebagai contoh, jika kanak-kanak mengalami demam dengan bintik merah, pelbagai diagnosis boleh diberikan secara dalam talian. Pengamal perubatan boleh memberi nasihat kepada pesakit sama ada dia memerlukan pemeriksaan lanjut secara fizikal, memberikan diagnosis dan juga memberikan preskripsi ubat.

“Platform DoctorOnCall akan membolehkan pengamal perubatan menjalankan pemeriksaan perubatan berkala dan menyediakan penjagaan paliatif, sementara pesakit pula boleh mendapatkan cadangan atau pendapat untuk membeli ubat di farmasi berdekatan.”

Platform ini juga mempunyai perkhidmatan pasaran sehenti ‘perniagaan ke perniagaan’ (B2B) secara digital yang memudahkan proses perolehan perniagaan antara pembeli (klinik dan doktor) serta penjual (pengedar). Ia menyediakan akses kepada pembeli untuk mendapatkan pelbagai produk dengan kuantiti pesanan minimum (MOQ), pilihan pembiayaan dan memenuhi keperluan.

Sehingga kini, DoctorOnCall menyediakan platform digital perkhidmatan penjagaan kesihatan paling komprehensif yang ditawarkan kepada lebih 1,000 pengamal perubatan. DoctorOnCall telah menghubungkan hampir 700,000 pesakit dengan penyedia penjagaan kesihatan sejak penubuhannya. = SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button